Sebagai contoh, karangan di bawah merujuk kepada penggunaan kaedah:-
a) Pengenalan,
b) Binaan isi, dan
c) Penutup yang telah disarankan dalam perbincangan di atas.
Membaca banyak mendatangkan faedah kepada rakyat. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan rakyat membaca.
Pengenalan:-
(1) Rakyat pada masa kini suka menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak di kompleks-kompleks beli-belah. (2) Hal ini amat membimbangkan semua pihak. (3) Oleh itu, membaca adalah penyelesaian kerana membaca merupakan salah satu cara untuk memenuhi masa lapang dengan cara yang berfaedah. Masa diibarat seperti mata pedang yang tajam, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita (4) Walau bagaimanapun, beberapa langkah perlu diambil untuk menggalakkan rakyat membaca.
Contoh pengenalan di atas ayat ( 1 ) ialah ayat rangsangan 1, (2) ayat rangsangan 2, (3) ayat rangsangan 3, dan (4 ) ayat arahan.
Isi Perenggan Pertama:-
(1) Tabiat membaca ini harus diamalkan sejak kecil lagi bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya". (2) Ibu bapa harus memikul tanggungjawab untuk memupuk tabiat ini dalam kalangan anak-anak mereka. (3) Salah satu caranya ialah menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak. (4) Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mewujudkan perpustakaan mini di rumah untuk menggalakkan anak-anak membaca. (5) Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memupuk tabiat suka membaca sejak kecil.
Ayat (1) Ayat judul, ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, ayat (4 ) ayat penegas
Isi Perenggan Kedua:-
Selain itu, (1) ibu bapa sendiri haruslah menanam sikap suka membaca kepada diri sendiri sebagai teladan kepada anak-anak. (2) Hal ini demikian kerana anak-anak mereka akan terpengaruh oleh ibu bapa mereka yang suka membaca buku. (3) Sebagai contohnya, ibu bapa yang tidak suka membaca dan hanya menggalakkan anak-anak mereka membaca akan menimbulkan sikap sambil lewa terhadap sikap mambaca pada anak-anak. Ibu bapa perlu ingat, jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. (4) Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menjadikan amalan membaca sebagai hobi.
Ayat (1) Ayat judul, ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, ayat (4 ) ayat penegas
Isi Perenggan Ketiga:-
Untuk menarik minat membaca dalam kalangan rakyat, (1) kerajaan hendaklah mengadakan kempen secara berterusan melalui media elektronik dan media cetak. (2) Kempen-kempen seperti ini juga boleh dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau diperingkat sekolah. (3) Sebagai contoh, usaha kerajaan menjadikan bulan Julai sebagai “Bulan Membaca” merupakan langkah bijak. Diharapkan, usaha kerajaan ini jangan seperti hangat-hangat tahi ayam dan dijalankan hanya pada peringkat awal sahaja tetapi perlu dilakukan secara berterusan. (4) Oleh itu, usaha yang berterusan ini perlu disokong oleh semua pihak supaya minat membaca dalam kalangan rakyat dapat disuburkan.
Ayat (1) Ayat judul, ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, ayat (4 ) ayat penegas
Isi Perenngan Keempat:-
(1) Syarikat-syarikat swasta juga tidak harus ketinggalan untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan bagi menarik minat rakyat untuk membaca. (2) Syarikat-syarikat swasta juga digalakkan untuk menubuhkan kelab-kelab membaca di seluruh negara. (3) Sesiapa yang menyertai kelab ini akan diberi beberapa keistimewaan. (4) Sebagai contohnya, dengan menyertai Kelab Rakan Dewan di bawah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, ahli kelab menerima potongan sehingga 25% bagi buku-buku terbitannya. (5) Dalam hal ini, usaha pihak swasta membantu pihak kerajaan untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan rakyat sangat dialu-alukan.
Ayat (1) Ayat judul, ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, ayat (4) ayat huraian dan (5 ) ayat penegas
Perenggan Penutup:-
Sebagai kesimpulannya, (1) semua rakyat harus sedar akan peri mustahaknya membaca kerana para pujangga sering mengingatkan pembaca bahawa membaca meluaskan pengetahuan. (2) Selain itu, banyak terdapat kebaikan membaca yang lain dan rakyat haruslah menanam sikap suka membaca kerana membaca itu jabatan ilmu. (3) Oleh hal yang demikian, jadikanlah membaca sebagai hobi dan salah satu sumber hiburan yang menyeronokkan. (4) Tegasnya, membaca merupakan aktiviti yang membawa kejayaan kita pada masa akan datang kerana membaca jambatan ilmu.
Ayat (1) ayat penyimpul, ayat (2) ayat cadangan, ayat (3) ayat cadangan dan ayat (4) ayat harapan.
** Sebagai saranan untuk memantapkan karangan anda, selitkan peribahasa, kata-kata hikmah, dan frasa menarik dalam karangan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan