SELAMAT DATANG KE CIKGUMOHDRAMSUL. BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ANDA KERANA ANDA MAMPU MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BANGSA

SELAMAT MENGUNJUNGI BLOG INI YANG DIWUJUDKAN SEPANJANG SAYA MENGAJAR DI SMKASAS (PMR) SELAMA 12 TAHUN DAN KINI SETELAH LAMA TIDAK AKTIF KERANA SAYA BERTUGAS DI PPD PERAK TENGAH SAYA BERUSAHA MENGAKTIFKAN SEMULA BLOG BERKENAAN. KINI BLOG INI KHAS UNTUK ANAK DIDIK SMK SERI LONDANG, GELUNG PEPUYU, BOTA UNTUK PEPERIKSAAN PT3 ADA TAHUN 2017. SEMOGA BLOG INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGGAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PT3, INSYAALAH.

Jumaat, 7 September 2018

NOTA NOVEL PELARI MUDA (TINGKATAN SATU)


NOTA- NOVEL PELARI MUDA
Bab 1

Setelah pulang berjoging Kamarul menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa. Perubahan sikap Kamarul disedari ibunya Mak Jah. Mak Jah mengesyaki perubahan itu kerana pergaduhan dengan Saridah. Sangkaan Mak Jah itu benar, apabila Kamarul mengakui bahawa berlaku sedikit salah faham dengan Saridah. Saridah menegur sikap Kamarul yang menjauhkan diri daripadanya dan juga kawan-kawan lain setelah Kamarul menjadi terkenal sebagai atlit sukan lumba lari 100 m di peringkat antarabangsa. Kamarul berasa resah mengenangkan pertengkaran yang berlaku itu dan mencari Saridah untuk memohon maaf.

Bab 2

Sures kecewa kerana Kamarul mungkir janji untuk hadir pada sesi latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan. Sikap Kamarul telah menimbulkan tanda tanya Sures. Encik Kadir selaku jurulatih pula risau dengan prestasi Kamarul. Latihan pada petang itu dijalankan seperti biasa. Oleh sebab, Kamarul tidak hadir, acara 100 m terpaksa dibatalkan. Setelah tamat latihan, Sures pulang ke rumah. Sewaktu sampai di laman rumah, Saridah datang bertemu Sures bertanyakan tentang Kamarul. Sures pula musykil dengan punca masalah yang berlaku di antara Saridah dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, Saridah berharap masalah yang dihadapinya tidak diperbesar-besarkan.

Bab 3

Saridah berada di perpustakaan dan berharap dapat berjumpa dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, dia kecewa kerana Kamarul tidak muncul. Saridah berasa kecewa dan merasakan dirinya dipersalahkan atas sikap dingin Kamarul. Dalam keadaan sedih dan resah itu muncul kawan rapatnya, Juriah dan bertanya tentang masalah Saridah. Setelah diberitahu Saridah, Juriah meminta Saridah tidak terlalu memikirkan tentang Kamarul, sebaliknya percaya masih ada masa untuk Saridah memperbaiki persahabatannya dengan Kamarul. Saridah tidak terus pulang ke rumah walaupun loceng tamat persekolahan hari itu telah berbunyi, sebaliknya dia berseorangan di dalam bilik darjah memikirkan masalahnya dengan Kamarul. Saridah membuat keputusan untuk menulis surat kepada Kamarul. Juriah yang menjengok ke bilik itu terkejut mendapati Saridah belum pulang ke rumah. Kesempatan Juriah datang ke situ, Saridah meminta pertolongan Juriah untuk menyampaikan surat yang dituliskan itu kepada Kamarul

Bab 4

Mak Jah memerhatikan gelagat anaknya ketika Kamarul hendak keluar berjoging. Mak Jah terbayang keresahan yang dialami Kamarul. Apabila Kamarul mula hendak pergi, Mak Jahpun memberikan surat yang diterima kepada Kamarul. Kamarul pula berasa musykil tentang pengirim surat itu tetapi tidak dinyatakan oleh Mak Jah pengirimnya. Sambil berlari, Kamarul membaca surat yang diterima itu. Kamarul terkejut kerana surat itu datangnya daripada Saridah. Hatinya terharu dengan kejujuran Saridah menulis. Kamarul terus berjoging masuk ke Stadium Merdeka. Melihat suasana stadium yang luas itu, Kamarul terbayang dirinya sedang beraksi dan penonton pula bersorak dengan bersemangat menjerit-jeritkan namanya. Khayalan Kamarul kemudiannya terganggu dan dia meraung sekuat hati ke dalam stadium dan kemudiannya berlari keluar dari stadium dengan perasaan sayu mengingatkan Saridah.

Bab 5

Saridah kecewa kerana Juriah yang ditunggu tidak datang pada masa yang dijanjikan. Dalam jemu menunggu Saridah teringat Kamarul yang juga tidak datang menemuinya di perpustakaan. Sewaktu menatap sekeping gambar dalam album di bilik rumahnya, Saridah teringat kenangan manis bertemu Kamarul sewaktu menyertai sukan MSSM di Stadium Merdeka. Kenangan itu amat menyentuh perasaan Saridah, kerana hubungan baik dengan Kamarul berpanjangan dari padang permainan ke bilik darjah hingga ke rumah. Saridah teringat kemesraan ibu bapa Kamarul terhadapnya. Walau bagaimanapun, setelah Kamarul terkenal dan glamour sebagai atlit sukan, sikapnya terhadap Saridah mula berubah. Perubahan inilah yang membuatkan Saridah kecewa dan sedih.

Bab 6

Encik Kadir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan prestasi Kamarul. Manakala prestasi Sures kian cemerlang. Encik Kadir sangat bangga akan pencapaian prestasi Sures. Dia mahu semua pelatihnya mengatasi rekod terpantas yang dibuat oleh pelari sukan negara lain. Encik Kadir memanggil Kamarul bertanya tentang masalah yang dihadapi Kamarul, tetapi Kamarul tidak menceritakan masalahnya, sebaliknya menunjukkan respon yang angkuh terhadap Encik Kadir. Kamarul memberitahu bahawa dia boleh berlatih sendiri dan tidak perlu latihan daripada orang lain. Sikap Kamarul ini amat memeranjatkan Encik Kadir.

Bab 7

Kamarul melepaskan kemarahan kepada Encik Kadir setelah membaca kenyataan Encik Kadir dalam akhbar. Sikap itu ditegur oleh Mak Jah. Pada ketika itu juga Kamarul menerima panggilan telefon daripada Saridah. Saridah menyatakan kemaafannya dan mendoakan kejayaan Kamarul di Bangkok nanti. Pada sebelah petang di sekolah, Saridah bertemu dengan Juriah. Mereka berbual-bual di kantin begitu lama. Saidah meluahkan perasaan hatinya yang terpendam terhadap Kamarul untuk dikongsi bersama-sama dengan Juriah. Juriah memahami perasaan yang dialami Saridah dan memberi kata nasihat supaya Saridah lebih mengutamakan pelajaran. Setelah lama berbual-bual, merekapun pergi ke padang sekolah.

Bab 8

Kamarul dipanggil oleh Cikgu Zainal ke bilik guru. Sebelum keluar, berlaku sedikit perang mulut antara Kamarul dengan Adibah, Ketua Kelas apabila Kamarul cuba keluar kelas sebelum loceng berbunyi. Sikap angkuh Kamarul menimbulkan rasa tidak puas hati Adibah. Apabila loceng berbunyi, Kamarul terus pergi menemui Cikgu Zainal. Cikgu Zainal memberitahu bahawa Kamarul diberi kebenaran untuk bercuti bagi mewakili negara. Cikgu Zainal mengucapkan syabas kepada Kamarul dan menasihati Kamarul supaya memberi perhatian terhadap peperiksaan SPM di samping kegiatan sukan yang diceburinya.

Bab 9

Kamarul menjalani latihan seperti biasa bersama-sama dengan Sures dan rakan-rakan pelatih lain. Sures menunjukkan prestasi yang cemerlang, manakala Kamarul masih tidak berjaya mencapai rekod lamanya. Encik Kadir tidak berpuas hati dengan pencapaian Kamarul. Beliau menasihati Kamarul agar lebih serius dan berdisiplin menjalani latihan. Kamarul tidak menunjukkan sikap patuh, sebaliknya Kamarul berpendapat tanpa disiplin pun dia boleh berjaya. Encik Kadir memberikan sebutir pingat yang pernah dimenanginya sebagai pendorong Kamarul. Namun, Kamarul tidak mahu menerima pingat itu dan bertindak melemparkannya di hadapan Encik Kadir. Encik Kadir terkejut dengan tindakan Kamarul. Dalam perjalanan pulang, Kamarul teringat-ingat perbuatan terhadap Encik Kadir. Terbayang juga dalam ingatan akan sikap angkuh dan menyoal diri sendiri dengan sikapnya itu. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan ketika melangkah menyeberangi jalan raya, Kamarul dilanggar sebuah kenderaan.

Bab 10

Kamarul dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dengan ditemani ibunya Mak Jah. Saridah dan Encik Kadir datang menziarahi Kamarul tetapi dia masih tidur di katil. Sebelum beredar Encik Kadir menenangkan Mak Jah dengan harapan kesihatan Kamarul segera pulih. Setelah sedar, Kamarul dapati Saridah ada di sisinya. Mereka bertanya khabar dan Saridah menyampaikan salam daripada Encik Kadir dan
Sures. Dalam pada itu, Saridah masih berharap kesalahannya yang lalu dimaafkan Kamarul. Doktor memberitahu bahawa kecederaan Kamarul tidak serius dan boleh balik ke rumah. Kunjungan kawan-kawan ke hospital membuatkan Kamarul berasa terharu, terutama pada Saridah dan Encik Kadir. Kamarul mengelamun tentang sikap buruknya terhadap Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan kawan-kawan yang lain. Timbul keinsafan dalam dirinya dan mula timbul keazaman untuk serius dalam latihan. Encik Kadir datang menyebabkan lamunan Kamarul terganggu. Encik Kadir memberitahu bahawa dia akan membawa Kamarul balik ke rumah. Kamarul berasa terharu dengan keikhlasan Encik Kadir tetapi dalam masa yang sama dia ceria dan gembira kerana dapat keluar dari hospital.

Bab 11

Pihak KOAM mengeluarkan kenyataan akhbar meletakkan harapan yang tinggi pada Kamarul dalam sukan SEA di Bangkok. Kenyataan ini membuatkan Kamarul resah. Walau bagaimanapun, Kamarul telah bersedia untuk berlatih bersungguh-sungguh. Kedatangan Kamarul di pusat latihan menggembirakan Encik Kadir. Encik Kadir menguji kepantasan Kamarul, namun prestasi Kamarul masih tidak memuaskan hati Encik Kadir. Namun, Encik Kadir meyakinkan Kamarul bahawa prestasinya akan meningkat apabila kesihatannya kembali normal. Di rumah, Kamarul menilik gambar-gambar atlet sukan olahraga yang terkenal. Daripada situ, beliau berazam untuk membuat catatan terbaik sebagaimana tokoh-tokoh atlet yang berjaya itu.

Bab 12

Suasana di lapangan terbang sebelum Kamarul dan atlet lain berlepas ke Bangkok. Dalam keriuhan dan suara kawan-kawan yang memberi semangat, Kamarul masih tercari-cari Saridah yang masih tidak muncul. Keresahan Kamarul menjadi usikan kawan-kawannya Adibah dan Fazilah. Tidak lama kemudian Saridah sampai di situ dan disambut riang oleh Kamarul. Saridah dengan mesra mengucapkan selamat jalan dengan harapan semoga Kamarul berjaya.

Bab 13

Kontinjen Malaysia sampai di Bangkok. Kamarul dan Sures tinggal sebilik. Mereka seronok kerana inilah kali pertama mereka ke Bangkok. Kamarul masih dilanda perasaan muram kerana bimbang akan kecergasannya yang belum mencapai tahap terbaik. Walau bagaimanapun, ia ditenangkan oleh Sures dengan kata-kata semangat dan keyakinan untuk berjaya. Kamarul dan atlet lain menjalani latihan kepantasan di gimnasium A. Seusai latihan Kamarul mencari De Wega, atlit Filipina yang diminatinya. Pertemuan dengan De Wega amat mengembirakan Kamarul. Mereka berkenalan dan berbual panjang tentang publisiti De Wega, tentang semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman diri. Banyak maklumat yang diperoleh oleh Kamarul daripada De Wega dan banyak pula pengajaran yang meningkatkan semangatnya. Kamarul berasa gembira dengan pertemuan itu dan semangatnya untuk berjaya semakin berkobar-kobar.

Bab 14

Berita tentang Kamarul muncul dalam televisyen dan akhbar di Bangkok. Kamarul terkejut mendengar hal itu apabila diberitahu oleh Abdul Rahman. Pada sebelah petang berlangsung upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-14. Kamarul dan Sures menyertai perbarisan kontingen Malaysia. Pertandingan acara bermula selepas itu. Pada hari pertama, Malaysia telah memenangi beberapa pingat emas, perak dan gangsa. Encik Kadir dan penolong jurulatihnya memberi perangsang dan semangat kepada Kamarul dan atlit Malaysia yang lain. Encik Kadir memberikan Kamarul sebutir pingat emas yang pernah dimenanginya sebagai perangsang Kamarul. Kamarul menerima dan mengikatnya di pinggang. Acara 100m bermula. Kamarul berjaya meraih kejayaan menewaskan peserta lain termasuk atlit Filipina, De Wega yang diminatinya. Pada sebelah petang, Kamarul memenangi satu lagi pingat emas menerusi acara 400m. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada rakan-rakan atlit dan pegawai-pegawai, termasuk ucapan tahniah daripada rakan-rakan di Malaysia terutamanya Saridah. Encik Kadir berasa puas dengan kejayaan Kamarul. Kamarul terkejut apabila Encik Kadir memberitahu cadangannya
untuk bersara selepas kejohanan sukan ini. Kamarul terharu dan terkilan apabila diberitahu Encik Kadir sepatutnya bersara pada tahun ini tetapi menangguhkannya demi kejayaan sukan SEA ini.

Bab 15

Kejohanan Sukan SEA Ke-14 di Bangkok telah berakhir. Malaysia menduduki tepat kedua. Di hotel penginapan, Kamarul dikunjungi De Wega. De Wega mengucapkan tahniah kepada Kamarul. De Wega memberi nasihat dan kata perangsang kepada Kamarul. Kemudian Kamarul memberikan cenderamata kepada De Wega sebagai kenang-kenangan. Demikian juga De Wega turut memberikan cenderamata berupa sebutir pingat emas yang pernah dimenangi dalam sukan SEA di Brunei kepada Kamarul. Penerbangan pulang atlit Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur dan disambut meriah oleh emak, ayah,kakak, Saridah dan beberapa orang kawan-kawannya. Semua mengucapkan tahniah atas kejayaan Kamarul.

TEMA :

Tema novel ini ialah kesombongan seorang remaja apabila mendapat sanjungan daripada media menyebabkannya tidak lagi berdisiplin dalam latihan. Hal ini dibuktikan menerusi watak utama, Kamarul yang meraih kejayaan cemerlang dalam sukan MSSM dan seterusnya terpilih dalam Sukan SEA di Brunei. Media banyak memaparkan kehebatan Kamarul menyebabkan dia menjadi sombong dan tidak mahu berlatih lagi di bawah kelolaan Encik Kadir. Hubungan dengan rakannya, Saridah juga renggang gara-gara sikapnya yang angkuh. Namun, dia akhirnya insaf apabila prestasinya menurun dan rakan pelatihnya, Sures berjaya mengalahnya dalam sesi kecerdasan.

PERSOALAN :
1. Hubungan dua jiwa remaja yang ada pasang surut

contohnya Kamarul berkawan rapat dengan rakan sekolahnya, Saridah dan Saridah pula amat menyayanginya, namun sikap Kamarul yang angkuh setelah terkenal menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin.

2. Komitmen jurulatih untuk memastikan pelatih yang dibimbing menjadi juara

contohnya Encik Kadir berterusan melatih Kumar, Sures, dan Rajip untuk memastikan mereka meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok. Encik Kadir juga melatih Kamarul dengan sabar sehingga Kamarul meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter walaupun pada peringkat awal Kamarul tidak berdisiplin, angkuh, dan suka berlatih sendiri.
3. Kekurangan kasih sayang menyebabkan anak bersikap dingin terhadap keluarga sendiri

contohnya Saridah kurang mendapat perhatian daripada keluarganya; emaknya sibuk dengan persatuan wanita, ayahnya sibuk dengan hal kerja di pejabat, dan kakaknya lebih mengutamakan tunangnya, menyebabkan Saridah lebih selesa menghabiskan masa bersama-sama Juriah dan mengharapkan perhatian daripada Kamarul.

4. Disiplin penentu kejayaan
contohnya Encik Kadir dan atlet Filipina, De Wega menasihati Kamarul tentang pentingnya disiplin jika ingin menjadi atlet yang berjaya.


Plot Binaan Plot 
(a) Permulaan

Kamarul bersiap-siap hendak ke sekolah. Kamarul tidak gembira kerana hubungannya dengan Saridah semakin renggang. Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul teringat akan Cikgu Zainal, guru sukan yang mula-mula mengesan bakatnya dalam bidang olahraga. 

(b) Perkembangan

Kamarul telah banyak berubah kerana sudah terkenal. Kamarul enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana baginya latihan yang diberikan oleh Encik Kadir amat membosankannya. Kamarul enggan bergaul dengan kawankawan sekolah. Kamarul juga enggan menjalani latihan sukan sekolah.

(c) Klimaks

Kamarul susah hati. Tahap kecergasannya semakin menurun. Kamarul bergaduh dengan Encik Kadir kerana dia kerap ponteng latihan. Akibat terlalu runsing, Kamarul melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri. Kamarul dilanggar kereta. Kamarul melambung ke udara kemudian terhempas di tengah-tengah jalan. Kamarul pengsan lalu di bawa ke hospital. 

(d) Peleraian

Kamarul mendapat dua pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter dan 400 meter dalam Sukan SEA ke- 14 di Bangkok. Kamarul menerima ucapan tahniah daripada Encik Kadir dan rakan-rakannya di Malaysia. Kamarul bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega. Kamarul dan atlet-atlet yang lain pulang ke Malaysia.
Teknik Plot

WATAK DAN PERWATAKAN
Kamarul Baharuddin 
(a) Kamarul Baharuddin ialah watak utama dalam novel ini. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia. 
(d) Kamarul berkawan rapat dengan Saridah. Mereka mula berkawan rapat semasa sukan MSSM. 
(e) Seorang yang angkuh dan sombong kerana kejayaan dan kepopularannya. 
(f) Seorang yang tidak berdisiplin. 
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun. 
(h) Tidak mengenang budi – Kamarul enggan berlatih bawah bimbingan Encik Kadir kerana telah bosan. 
(i) Buruk sangka – Encik Kadir sengaja mendendanya berlari lapan kali pusing keliling padang untuk membalas dendam. 
(j) Insaf akan kesalahannya – Kamarul menyesal bersikap kurang ajar dengan Encik Kadir dan bersikap sombong dengan kawan-kawan sekolah setelah dia dilanggar kereta. 
Saridah 
(a) Saridah ialah kawan baik Kamarul. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut. 
(d) Berkawan baik dengan Kamarul dan Juriah. 
(e) Menyukai Kamarul dan amat mengambil berat tentang Kamarul. Seorang yang bersopan santun. 
(f) Seorang yang peramah dengan orang tua. 
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun. 

Mak Jah 
(a) Ibu kepada kamarul dan isteri kepada Encik Baharudin. 
(b) Seorang ahli perniagaan yang berjaya. 
(c) Penyayang – Menyayangi Saridah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan. 
(d) Prihatin – Menasihati Kamarul supaya berbaik-baik dengan Saridah. 

Sures Menon 
(a) Sures ialah ahli sepasukan dengan Kamarul. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia. 
(d) Berazam untuk menewaskan catatan masa Kamarul.
(e) Seorang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh. 
(f) Seorang yang berdisiplin. 
(g) Seorang yang amanah – Buktinya, dia menyampaikan pesanan Encik Kadir kepada Kamarul. 

Juriah 
(a) Juriah ialah kawan baik Saridah. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Sentiasa membantu Saridah dalam susah dan senang. 
(d) Seorang yang selalu bergurau. 

Encik Kadir 
(a) Encik Kadir ialah jurulatih untuk atlet olahraga kontinjen Malaysia. 
(b) Seorang yang tegas. 
(c) Penyabar. 
(d) Seorang yang tidak berputus asa dan mengambil berat akan atlet-atletnya. 
(e) Seorang yang bertimbang rasa. 

De Wega 
(a) De Wega ialah pelari pecut Filipina yang diminati Kamarul. 
(b) Berusia 34 tahun. 
(c) Seorang yang peramah dan rendah diri. 
(d) Seorang buruh kereta api sebelum menjadi pelari pecut. 
(e) Seorang yang berdisiplin. 
(f) Seorang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. 
(g) Pemurah dalam memberi nasihat



LATAR TEMPAT :
1. Pusat Sukan Kampung Pandan

Kompleks tersebut merupakan tempat Kamarul dan rakan-rakannya seperti Sures berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sehinggalah berjaya membentuk Kamarul menjadi atlet yang berjaya dan meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok.

2. Stadium Nasional, Bangkok

Tempat berlangsungnya Sukan SEA yang ke-14 dan di tempat itulah Kamarul berjaya meraih pingat emas menerusi acara 100 meter dan 400 meter.

3. Hospital

tempat Kamarul menerima rawatan selama empat hari, gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Stadium Merdeka

tempat Kamarul dan Saridah menyertai Sukan MSSM. Di situlah jugalah mereka saling mengenali seterusnya hubungan tersebut berpanjangan sehinggakan timbul perasaan sayang di jiwa Saridah terhadap lelaki itu.

5. Kantin sekolah

tempat Saridah dan Juriah bersembang tentang hubungannya dengan Kamarul yang renggang dan Juriah pula menasihati Saridah agar melupakan Kamarul sebaliknya memberi fokus terhadap SPM.

LATAR MASYARAKAT


  1. Masyarakat yang sombong dan angkuh apabila mendapat kejayaan dan populariti.
  2. Masyarakat yang berdisiplin. 
  3. Masyarakat yang tidak menepati janji dan masa. 
  4. Masyarakat yang lemah kerana cinta. 
  5. Masyarakat yang gigih berusaha. 
  6. Masyarakat atlet yang gigih menjalani latihan. 
  7. Masyarakat pelajar. 
  8. Masyarakat yang bertanggungjawab.


LATAR MASA
1   waktu sarapan pagi
2   waktu rehat persekolahan


GAYA BAHASA :
(a) Diksi

Penggunaan kata dalam bahasa Inggeris. Antaranya, one, two, three, airport, dan sorry. 
(b) Peribahasa

(i) jauh hati
(ii) kilas ikan di air aku tahu jantan betinanya 
(c) Sinkope

(i) “Kamu nak ke mana ni?” tegur Mak Jah.
(ii) “Tak bersampul?” kata Juriah sambil mengeyitkan mata. 
(d) Simile

(i) Kamarul bagaikan seekor kuda yang dipacu punggungnya memecut sekuat tenaga.
(ii) Daunnya bergerak-gerak seperti diusik-usik.
(e) Personifikasi

(i) Hatinya dicengkam dengan seribu kemarahan.
(ii) Cermin jendela Airbus kelihatan merenek-renek dilanda tempias hujan. 
(f) Repetisi

Mengharapkan emak di rumah, emak lebih sibuk dengan persatuan wanitanya. 
(g) Anafora

Maafkan aku, Saridah! Maafkan aku, Cikgu Zainal! Maafkan aku, Encik Kadir! Maafkan aku, kawan-kawan! (hal. 82 – 83)


NILAI MURNI :
1. Kesyukuran

contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecahkan rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Patriotisme

contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kasih sayang

contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selama empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Baik hati

contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Keberanian

contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.


PENGAJARAN :

1. Kita hendaklah melahirkan rasa syukur jika memperoleh sesuatu kejayaan atau anugerah

contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecah rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Kita perlu mempunyai semangat patriotism

contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kita sewajarnya mempunyai perasaan kasih sayang

contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selamat empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Kita sepatutnya menghargai jasa

contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Kita seharusnya mempunyai keberanian menghadapi cabaran

contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.