SELAMAT DATANG KE CIKGUMOHDRAMSUL. BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ANDA KERANA ANDA MAMPU MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BANGSA

SELAMAT MENGUNJUNGI BLOG INI YANG DIWUJUDKAN SEPANJANG SAYA MENGAJAR DI SMKASAS (PMR) SELAMA 12 TAHUN DAN KINI SETELAH LAMA TIDAK AKTIF KERANA SAYA BERTUGAS DI PPD PERAK TENGAH SAYA BERUSAHA MENGAKTIFKAN SEMULA BLOG BERKENAAN. KINI BLOG INI KHAS UNTUK ANAK DIDIK SMK SERI LONDANG, GELUNG PEPUYU, BOTA UNTUK PEPERIKSAAN PT3 ADA TAHUN 2017. SEMOGA BLOG INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGGAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PT3, INSYAALAH.

Khamis, 22 Mac 2012

Contoh Membina Karangan Lengkap


Sebagai contoh, karangan di bawah merujuk kepada penggunaan kaedah:-
a)    Pengenalan,
b)    Binaan isi, dan
c)    Penutup yang telah disarankan dalam perbincangan di atas.




Membaca banyak mendatangkan faedah kepada rakyat. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan rakyat membaca.
Pengenalan:-
(1) Rakyat pada masa kini suka menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak di kompleks-kompleks beli-belah. (2)  Hal ini amat membimbangkan semua pihak. (3) Oleh itu, membaca adalah penyelesaian kerana membaca merupakan salah satu cara untuk memenuhi masa lapang dengan cara yang berfaedah. Masa diibarat seperti mata pedang yang tajam, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita (4) Walau bagaimanapun, beberapa langkah perlu diambil untuk menggalakkan rakyat membaca.


Contoh pengenalan di atas  ayat ( 1 )  ialah ayat rangsangan 1, (2) ayat rangsangan 2, (3) ayat rangsangan 3, dan (4 ) ayat arahan.


Isi Perenggan Pertama:-
(1) Tabiat membaca ini harus diamalkan sejak kecil lagi bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya". (2) Ibu bapa harus memikul tanggungjawab untuk memupuk tabiat ini dalam kalangan anak-anak mereka. (3) Salah satu caranya ialah menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak. (4) Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mewujudkan perpustakaan mini di rumah untuk menggalakkan anak-anak membaca. (5) Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memupuk tabiat suka membaca  sejak kecil.

Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4 ) ayat penegas

Isi Perenggan Kedua:-
Selain itu, (1) ibu bapa sendiri haruslah menanam sikap suka membaca kepada diri sendiri sebagai teladan kepada anak-anak. (2) Hal ini demikian kerana anak-anak mereka akan terpengaruh oleh ibu  bapa mereka yang suka membaca buku. (3) Sebagai contohnya, ibu bapa yang tidak suka membaca dan hanya menggalakkan anak-anak mereka membaca akan menimbulkan sikap sambil lewa terhadap sikap mambaca pada anak-anak.  Ibu bapa perlu ingat, jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. (4) Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menjadikan amalan membaca sebagai hobi.

Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4 ) ayat penegas








Isi Perenggan Ketiga:-
Untuk menarik minat membaca dalam kalangan rakyat, (1) kerajaan hendaklah mengadakan kempen secara berterusan melalui media elektronik dan media cetak. (2) Kempen-kempen seperti ini juga boleh dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau diperingkat sekolah. (3) Sebagai contoh, usaha kerajaan menjadikan bulan Julai sebagai “Bulan Membaca” merupakan langkah bijak. Diharapkan,  usaha kerajaan ini jangan seperti hangat-hangat tahi ayam dan dijalankan hanya pada peringkat awal sahaja tetapi perlu dilakukan secara berterusan. (4) Oleh itu,  usaha yang berterusan ini perlu disokong oleh semua pihak supaya minat membaca dalam kalangan rakyat dapat disuburkan.

Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4 ) ayat penegas


Isi Perenngan Keempat:-
(1) Syarikat-syarikat swasta juga tidak harus ketinggalan untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan bagi menarik minat rakyat untuk membaca. (2) Syarikat-syarikat swasta juga digalakkan untuk menubuhkan kelab-kelab membaca di seluruh negara. (3) Sesiapa yang menyertai kelab ini akan diberi beberapa keistimewaan. (4) Sebagai contohnya, dengan menyertai Kelab Rakan Dewan di bawah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, ahli kelab menerima potongan sehingga 25% bagi buku-buku terbitannya. (5) Dalam hal ini, usaha pihak swasta membantu pihak kerajaan untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan rakyat sangat dialu-alukan.

Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4) ayat huraian dan (5 ) ayat penegas


Perenggan Penutup:-
Sebagai kesimpulannya, (1) semua rakyat harus sedar akan peri mustahaknya membaca kerana para pujangga sering mengingatkan pembaca bahawa membaca meluaskan pengetahuan. (2) Selain itu, banyak terdapat kebaikan membaca yang lain dan rakyat haruslah menanam sikap suka membaca kerana membaca itu jabatan ilmu. (3) Oleh hal yang demikian, jadikanlah membaca sebagai hobi dan salah satu sumber hiburan yang menyeronokkan. (4) Tegasnya, membaca merupakan aktiviti yang membawa kejayaan kita  pada  masa akan datang kerana membaca jambatan ilmu.
Ayat (1) ayat penyimpul, ayat (2) ayat cadangan, ayat (3) ayat cadangan dan ayat (4) ayat harapan.


** Sebagai saranan untuk memantapkan karangan anda, selitkan peribahasa, kata-kata hikmah, dan frasa menarik dalam karangan anda.

Kaedan Menulis Perenggan Karangan Penutup


Cara Membina Perenggan Penutup.
Pada peringkat ini, pelajar-pelajar dikehendaki membuat kesimpulan atau menyimpulkan isi-isi penting yang telah dibicarakan. Pelajar juga dikehendaki menyatakan pendirian tentang tajuk yang dikemukakan. Kesimpulan yang ditulis itu hendaklah bersifat lebih umum dan padat. Dari segi kepanjangan, perenggan yang dibina seimbang dengan perenggan isi dan pendahuluan. Tegasnya, ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada kesimpulan, ayat yang berupa cadangan, harapan, dan sebagainya.
Umumnya, fungsi kaedah penulisan penutup sesebuah karangan sama dengan fungsi kaedah pengenalan dan kaedah binaan perenggan isi iaitu untuk memastikan kepanjangan setiap perenggan anda seimbang untuk menunjukkak kepada pembaca dan pemeriksa bahawa anda seorang pelajar yang mahir menghasilkan karangan yang menarik dan bermutu. Tegasnya, kaedah binaan pengenalan, kaedah binaan perenggan isi dan kaedah binaan perenggan penutup bertujuan untuk anda mampu menghasilkan karangan peringkat cemerlang semasa menghasilkan karangan.


Contoh karangan penutup menggunakan binaan ayat:-

Kata penyimpul  + ayat cadangan + ayat cadangan + ayat cadangan + ayat harapan

     
      (1) Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan hendaklah diatasi. (2) Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. (3)  Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh. (4) Pihak berkuasa pula janganlah memilih bulu ketika menguatkuasakan undang-undang. Semua pengguna jalan raya pula hendaklah ingat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab bersama.
     
        (1)Kata  penyimpul, ayat (2) ayat cadangan, ayat (3) ayat cadangan dan ayat (4) ayat harapan.
                  

Kaedah Mengembangkan Perenggan Isi

Cara membina perenggan isi.

Selepas pendahuluan, pelajar-pelajar perlu menulis perenggan isi pula. Biasanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan yang ketiga, dan seterusnya. Dari segi isi, pelajar-pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan sahaja. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian.
Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:
(a)            Ayat judul;
(b)            Ayat Huraian;
(c)             Ayat Bukti/Contoh; dan
(d)        Ayat penegas.

Ayat judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan. Hal ini bergantung pada huraian yang dilakukan oleh pelajar.
Ayat huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan  bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. Karangan yang baik akan mengemukakan satu (1) ayat huraian sekurang-kurangnya.
Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan  untuk memperkuat hujah. Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.
      Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti "tegasnya", "oleh itu", dan "sehubungan dengan itu".
JAWAPAN CONTOH UNTUK PERENGGAN ISI
(1) Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih berat terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan tidak bertimbang rasa. (2) Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di jalan raya.(3) Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak. (4) Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Dalam contoh jawapan di atas, ayat (1) ialah ayat judul, ayat (2) ialah ayat huraian, ayat (3) ialah ayat contoh, dan ayat (4) ialah ayat penegas.





Dalam penulisan karangan, terdapat tiga jenis perenggan isi, iaitu
1 Perenggan Deduktif
2 Perenggan Induktif
3 Perenggan Deduktif-induktif
1  Contoh Perenggan Deduktif
(1) Satu daripada punca mutu sukan bola sepak negara kita merosot ialah disiplin pemain negara kita tidak mencapai tahap yang tinggi. (2) Sudah banyak kali disiplin pemain bola sepak negara dipertikaikan ketika menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan atau luar negara. (3) Sebagai contohnya, ada kalangan pemain negara yang tidak mengikuti jadual latihan yang ditetapkan oleh jurulatih dan paling memeranjatkan ada segelintir pemain yang terlibat dengan rasuah dengan mencatur keputusan perlawanan. (4) Justeru, persatuan bola sepak negari dan kebangsaan perlu mengambil berat masalah ini agar tidak memalukan mutu sukan bola sepak negara. Bak kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur (5 )

** Bentuk penulisan isi seperti ini selalu ditulis oleh pelajar semasa mengarang.
Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4 ) ayat penegas dan ayat ( 5 ) frasa menarik/ peribahasa.
2  Contoh Perenggan Induktif
(1) Pabila pemain negara kita bersara, kita tidak mendapat pengganti yang sesuai. (2) Sebagai contohnya, sehingga kini kita belum mempunyai pemain yang setanding dengan kehandalan pemain lagenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Soh Chi Aun. (3) Tegasnya ketiadaan pemain yang menggerunkan lawan menyebabkan pasukan bola sepak negara kita sering gagal walaupun berlawan dengan pasukan yang lemah seperti Filipina dan Laos. (4) Puncanya ialah negara kita tidak mempunyai program bola sepak di peringkat akar umbi.
   
Ayat (1) ayat huraian, ayat (2) ayat contoh, ayat (3) ayat penegas, dan ayat (4) ayat judul.


3.  Contoh Perenggan Deduktif- Induktif
 (1)  Faktor ketiadaan jurulatih yang berwibawa juga merupakan faktor kemerosotan mutu bola sepak negara kita. (2) Kebanyakan negara yang maju dalam bidang bola sepak mengambil jurulatih dari luar negara yang mempunyai pengalaman luas. (3) Contohnya, pasukan Korea Selatan yang menggunakan Gus Hiddink dari Belanda, telah berjaya untuk memasuki perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2002. (4) Jadi, ketiadaan jurulatih yang berwibawa sebenarnya menjadi salah satu punca kemerosotan mutu sukan bola sepak negara.

Ayat (1) ayat judul, ayat (2) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, dan ayat (4) ayat judul.


Pelajar  telah didedahkan cara untuk membina perenggan isi yang baik, matang, dengan pengolahan yang baik serta menarik dan mengambarkan penguasaan pelajar terhadap tajuk karangan. Berdasarkan tiga bentuk binaan isi iaitu menggunakan kaedah pembinaan isi jenis:-
a.            Perenggan isi jenis deduktif.
b.            Perenggan isi jenis induktif.
c.            Perenggan isi jenis deduktif-induktif
      Sepanjang  pengetahuan saya sebagai seorang guru mata pelajaran bahasa Melayu, kaedah binaan perenggan isi  paling diminati oleh pelajar adalah dengan menggunakan kaedah deduktif. Namun, pelajar bebas untuk memilih kaedah yang lain asalkan isi yang anda huraikan menarik, dan mengambarkan kematangan anda mengolah isi dengan baik. Tegasnya, fungsi utama kaedah ini diwujudkan adalah untuk memastikan seorang pelajar dapat menyeimbangkan kepanjangan setiap perenggan yang dihasilkan untuk mendapat markah yang cemerlang semasa mengarang.

Kaedah Membina Pengenalan


Cara membina perenggan pengenalan yang baik.
        Untuk membina sebuah karangan yang baik, pengenalan sangat penting
 untuk mengambarkan isi     karangan yang ditulis oleh seorang pelajar. Sekiranya karangan  diibaratkan seperti tubuh manusia, pengenalan boleh disamakan seperti wajah atau muka seseorang. Jika wajah atau muka seseorang itu tidak kemas, sudah pasti penampilannya di khalayak ramai akan terjejas.
         Begitulah juga keadaannya dengan sebuah karangan. Jika permulaan karangan tersebut tidak bagus atau tidak menarik, perkara ini sudah tentu akan membosankan pembaca terutamanya pemeriksa untuk membaca karangan pelajar seterusnya. Ingat, pembaca dan pemeriksa ada perasaan dan jika pada bahagian awal penulisan atau perenggan pengenalan tidak menarik, mereka sudah dapat mengambarkan keadaan karangan anda secara keseluruhannya. Natijahnya, anda tidak akan mendapat markah cemerlang apabila pembaca atau pemeriksa telah membuat tanggapan atau persepsi awal apabila mendapati pengenalan anda tidak menarik.
         Secara umumnya, pelajar boleh memilih cara menulis pengenalan sama ada secara umum atau memilih beberapa lagi jenis pengenalan yang lain.
Jenis-jenis pengenalan:-
1.    Pengenalan jenis umum.
2.    Pengenalan jenis definisi.
3.    Pengenalan jenis pendapat pemimpin.
4.    Pengenalan jenis suasana.
5.    Pengenalan jenis persoalan.
6.    Pengenalan jenis sejarah.
7.    Pengenalan jenis berita.
8.    Pengenalan jenis peribahasa.
9.    Pengenalan jenis dialog.
10. Pengenalan jenis puisi.
11. Pengenalan jenis lagu.
      1.   Pengenalan  jenis umum.
      Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar menulis dua jenis ayat iaitu    a)  ayat rangsangan
            b)  ayat arahan.
      Ayat rangsangan  ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat pembaca.
     Ayat arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan pengenalan.

Contoh soalan:
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (AR1) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (AR2) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, dan boleh merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.(AR3) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah kerana rasuah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat, ekonomi, dan maruah negara. ( AA)



Contoh soalan 2.
Di negara kita, kemalangan jalan raya dikatakan berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.

Hampir setiap hari media masa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam kemalangan. (AR2)  Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Oleh itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)

Dalam jawapan contoh pengenalan di atas ( AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan 3, dan (AA) ayat arahan.


2. Pengenalan jenis definisi.
    Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes
    ini sentiasa berlaku dan berulang.

“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak  punca yang boleh menyebabkan insiden ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin.
    Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.


  4. Pengenalan jenis suasana atau situasi.

Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.

Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi panik kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan bagi  menyelamatkan mangsa. Tambahan pula, tiada alat yang boleh saya gunakan untuk membantu saya menyelamatkan mereka. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

  5. Pengenalan jenis persoalan.
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

  6. Pengenalan jenis sejarah.
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 7.  Pengenalan jenis berita .
Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

 8.  Pengenalan jenis peribahasa.
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh
masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh. Hal ini tentu mengetepikan maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan
ini.

9.   Pengenalan jenis dialog.     
      Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak
      akan putus.

“Kataku pergi! Pergi!!” pekik Kassim.

“Pergi kataku!” kataku lagi.

“Mengapa mesti aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan kesakitan.

“Bukankah ini rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum ini sudah tidak boleh dibuka lagi.


 10.  Pengenalan jenis puisi.
Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.

 11.  Pengenalan jenis lagu.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?

        Apabila kita baca, dan teliti pengenalan di atas, setiap pengenalan berkenaan ada
        kekuatan dan memberi impak yang besar kepada pembaca.

PASTIKAN ANDA BIJAK MEMILIH  JENIS PENGENALAN  KERANA
PENGENALAN YANG TEPAT DENGAN KARANGAN AKAN MEMBERI KESAN
YANG BAIK KEPADA MUTU KARANGAN ANDA.