SELAMAT DATANG KE CIKGUMOHDRAMSUL. BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ANDA KERANA ANDA MAMPU MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BANGSA

SELAMAT MENGUNJUNGI BLOG INI YANG DIWUJUDKAN SEPANJANG SAYA MENGAJAR DI SMKASAS (PMR) SELAMA 12 TAHUN DAN KINI SETELAH LAMA TIDAK AKTIF KERANA SAYA BERTUGAS DI PPD PERAK TENGAH SAYA BERUSAHA MENGAKTIFKAN SEMULA BLOG BERKENAAN. KINI BLOG INI KHAS UNTUK ANAK DIDIK SMK SERI LONDANG, GELUNG PEPUYU, BOTA UNTUK PEPERIKSAAN PT3 ADA TAHUN 2017. SEMOGA BLOG INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGGAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PT3, INSYAALAH.

Jumaat, 25 Mei 2018

NOTA RINGKASAN BAB DEMI BAB NOVEL JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR (TING. 3)

NOTA BAB DEMI BAB NOVEL JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR (TING. 3)

BAB 1 - RANJAU MASIH BERLIKU.

Sesi latihan masih berbaki 15 minit, namun kompleks sukan semakin lengang. Syahir baru sahaja menghabiskan sesi wawancara bersama seorang wartawan bernama Azmie. Sejak mengenali Azmie hubungan mereka menjadi akrab. Selepas menghantar Azmie ke kereta Syahir segera menyertai rakan-rakannya yang lain untuk mendengar taklimat daripada Engku Aiman (lingkungan 40-an).

Dalam taklimatnya, Engku Aiman (ketua jurulatih) mengingatkan anak buahnya agar tidak mencampuradukkan hal peribadi ataupun publisiti semasa sesi latihan. Syahir terkesan dengan kata-kata tersebut.
  
Boon Lee bertanyakan sebab kelewatan Syahir dalam taklimat tersebut. Boon Lee memberitahu mereka perlu menyertai Terbuka Johor dan aspek pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan bukannya ranking dunia. Wan Najhan mengiyakan kata-kata Boon Lee. Syahir merasakan perjalanannya masih banyak halangan. Syahir sempat meminta maaf kepada Engku Aiman atas kelewatannya dalam sesi taklimat pada petang itu. Namun Syahir menerima sindiran daripada Engku Aiman dan Syed Amiri.

BAB 2 - TIDAK SEINDAH MIMPI.

Syahir (anak bongsu) terleka ketika makan sambil menonton televisyen bersama emak dan Kak Uda Syahrizah (pegawai perubatan UKM). Syahir jarang-jarang dapat menikmati masakan ibunya kerana tinggal menyewa bersama Wan Najhan dan Nik Shahnizam berhampiran kompleks sukan. Kak Udanya antara insan yang paling rapat dalam keluarganya dan menyokong kariernya.

Namun Kak Ngah Syamilah (akauntan di Johor) tidak menyokong penglibatannnya dalam sukan tersebut. Syahir perlu memenangi Terbuka Johor jika ingin ke perlawanan (Kejohanan Badminton Antarabangsa) di Jakarta. Emaknya risau Syahir menangguhkan pengajiannya di UPM Serdang hampir setahun dalam pengajian di Jabatan Sukan UPM. Syahir memohon doa kakaknya dan emaknya agar impiannya untuk mengharumkan nama negara.

Syahir tidak melupakan amanat arwah bapanya menjadi anak yang berijazah dan berilmu serta memelihara syariat Islam dalam bersukan. Ayahnya pernah menentang penglibatannya dalam bidang sukan semasa di sekolah menengah. Namun kejayaannya dalam akademik dan sukan telah memadamkan api kemarahan ayahnya. Arwah ayahnya meninggal dunia kerana barah prostat. Abang Long Syakir (pensyarah doktor falsafah) dan Abang Alang Syazali (tahun akhir Kulliyyah Syariah Universiti Mu'tah Jordan) banyak mengikut jejak langkah ayahnya (ustaz) dalam bidang agama.


Cikgu Kamaludin yang mengasah bakat Syahir semasa di sekolah menengah. Walaupun cemerlang dalam bidang akademik, Syahir pernah menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh semata-mata kerana minatnya dalam sukan badminton.
BAB 3 - AKU BUKAN USTAZ.

Syahir menghampiri Haji Marzuki (jurulatih & bekas jaguh kebangsaan) yang sedang memantau latihan Bernard. Keputusan mengejut Kelab Badminton Malaysia sering mengganggu fikirannya. Haji Marzuki seakan mengerti isi hati Syahir. Beliau menasihati agar Syahir bersabar dan menganggap mungkin ada hikmahnya.

Mengikut ranking rasmi badan dunia, Syahir, Bernard dan Kam Heng layak ke Jakarta. Namun perubahan drastik membenarkan negara memilih empat pemain terbaik sahaja menjadikan peluangnya samar-samar. Para pemain perlu bermain bermati-matian menentang sesama sendiri untuk melayakkan mendapat tempat dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

Sebelum pulang Syahir dan Wan Najhan singgah makan tengah hari di Restoran 48 Jam. Mereka bertemu dengan Wan Najlah (adik Wan Najhan). Wan Najlah sering mengusik jika berada di sisi abangnya. Wan Najlah mengusik Syahir dengan meminta autograf Syahir kerana profil Syahir diterbitkan dalam Mingguan Riadah.

BAB 4 - MENEKA RESAH DI WAJAHMU.

Syahir bersantai di ruang tamu rumah sewanya. Wan Najhan dan Nik Shahnizam masih belum pulang kerana janji temu seusai latihan. Syahir sayu dan simpati menonton paparan berita uamat Islam yang ditindas di Palestin. Kemudian Syahir membaca artikel Mingguan Riadah tentang dirinya. Dalam wawancara tersebut Syahir diajukan beberapa soalan tentang penampilannya sewaktu bersukan.

Syahir pernah dituduh mencari publisiti kerana penampilannya yang menutup aurat dalam bersukan sejak di tingkatan 4. Latar belakang keluarganya mempengaruhi penampilannya dan dia tidak berniat mencetuskan kontroversiti. Pada mulunya dia mendapat kritikan namun lama kelamaan banyak pihak yang semakin mengerti tindakannya. Syahir teringat kembali pertemuaanya dengan Wan Najlah yang tiba-tiba menyepi tanpa sebab. Syahir berasa bersalah jika kata-katanya mengguris hati Wan Najlah.

BAB 5 - AKU BUKAN SELEBRITI.

Syed Amiri memuji Syahir sebagai selebriti kerana artikel tentang dirinya dalam akhbar sukan tabloid itu tetapi Syahir kurang senang dengan gelaran tersebut. Kam Heng turut memuji Syahir. Syed Amiri ditinggalkan bersama Syahir. Syed Amiri mempersoalkan sama ada mereka layak ke kejohanan  Antarabangsa tersebut.

Mereka memulakan latihan dengan aktiviti memanaskan badan. Aktiviti diteruskan dengan latihan di bawah latihan jurulatih masing-masing. Bernard dan Syahir di bawah bimbingan Haji Marzuki. Haji Marzuki sempat memberitahu bahawa Syahir akan bertemu dengan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor. Syahir kelihatan bimbang namun Haji Marzuki sering memberi motivasi kepadanya. Syed Amiri tidak asing lagi dengan Syahir kerana mereka telah bertemu dalam 14 kali perlawanan dan Syahir pernah memenangi 8 daripada 14 pertemuan tersebut.

Syahir telah mengenali Syed Amiri sejak awal remaja lagi. Syed Amiri setahun lebih tua daripadanya dan berasal dari Johor. Syahir pernah dibesarkan oleh datuknya di Segamat. Kemudian ibu bapanya mengambilnya dan Syahir dihantar ke sekolah berasrama di Selangor dan Syed Amiri adalah seniornya. Mereka dilatih di bawah bimbingan Cikgu Kamaludin sehingga diserap dalam skuad kebangsaan. Sejak dahulu lagi Syed Amiri tidak menyenanginya dan sering mengambil peluang menyakiti hatinya. Tetapi Syahir tetap bertahan kerana prinsipnya sukan wasilah memupuk semangat ukhwah.

Haji Marzuki sedar akan kelebihan anak buahnya. Syahir mahir dalam pukulan pancungnya namun harus diperbaiki lagi. Syahir dan Bernard tersenarai dalam senarai 15 pemain terbaik dunia sepanjang 15 bulan mereka mendapat latihan Haji Marzuki.

AB 6 - SEINDAH AKHLAK SEMANIS SENYUMAN.

Syahir mendapat panggilan daripada Wan Najlah. Namun kekangan masa latihan membataskan Syahir membalas panggilan Wan Najlah. Selepas tamat latihan, Syahir dan teman serumahnya pulang ke rumah sewa mereka (11 malam). Selepas membersihkan diri dan bersolat Syahir menonton Buletin Dunia.

Pada ketika itu Wan Najlah menghubunginya lagi. Syahir bertanyakan sekiranya Wan Najlah mempunyai masalah. Wan Najlah memohon maaf kerana bersikap emosional tempoh hari. Wan Najlah terkesan dengan kata-kata Syahir tempoh hari tetapi mengakui kebenaran kata-kata Syahir. Wan Najlah memuji kehebatan Syahir mempertahankan prinsipnya dalam berpakaian semasa bersukan. Wan Najlah menyatakan keinginannya bertudung namun gusar dengan pandangan orang lain. Namun Syahir memberi dorongan dengan memberikan contoh Ruqaya al-Ghasara dalam sukan olahraga 200 meter yang berasal dari Bahrain.

BAB 7 - HIDAYAH ITU MILIK ALLAH.

Tengah hari itu, Syahir Ramzi bertemu dengan Azmie (2 tahun lebih tua daripada Syahir). Mereka mula mengenali semasa Kejohanan Terbuka Kelantan setahun yang lalu. Ketika berda di pejabat Azmie, Wan Najhan menghubunginya dan memberitahu bahawa adiknya Wan Najlah sudah bertudung dan menutup aurat ketika sesi latihan. Perkara ini mengejutkan semua warga kompleks sukan tersebut. Wan Najhan menuduh Syahir mempengaruhi adiknya. Namun Syahir menafikan dan menganggap itu adalah hidayah dari-Nya.

Beberapa pelajar UITM meminta Syahir bergambar bersama mereka dan Ratna (Juara Akademik Impiana). Syahir seboleh-bolehnya mengelak untuk bergambar berdua-duaan.

BAB 8 - JANGAN ADA PILIH KASIH.

Sejak dua hari ini Engku Aiman sering mengkritik cara permainannya dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Namun Syahir masih dapat bersabar. Rakan-rakannya juga menyedari sikap Engku Aiman terhadap Syahir. Engku Aiman sengaja memalukan dan melemahkan dirinya di hadapan Dr Asyraf (pengurus pasukan negara) dan semasa ketiadaan Haji Marzuki (uzur demam selesema). Engku Aiman sering memuji Syed Amiri menyebabkan hatinya bertambah sakit.

Syahir pulang ke rumah emaknya (Bandar Baru Bangi) untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Seusai mendengar kuliah Ustaz Itqan Fathi, Syahir dan ibunya pergi ke pasar malam. Pada malam itu (10 malam) Syahir mendapati ibunya terlentang di atas katil dalam keadaan bertelekung. Hati Syahir bimbang kerana tubuh ibunya panas.


BAB 9 - HIJRAH NAJLAH.

Perjalanannya ke Johor Bahru tengah hari itu diselubungi kebimbangan terhadap ibunya yang uzur. Kak Uda meyakinkannya ibunya akan sembuh. Ibunya turut merestui pemergiannya. Haji Marzuki juga tidak dapat bersamanya kerana belum sembuh.

Kejohanan Terbuka Johor (Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama) bermula selepas solat Jumaat. Syahir berjaya menewaskan pihak lawannya. Syahir dan rakannya terkejut dengan prestasi baik Syed Amiri. Syed Amiri turut mendapat sokongan penonton kerana Syed Amiri berasal dari Johor.

Syahir bangga dengan perubahan Wan Najlah ketika kejohanan tersebut. Dr Asyraf memanggilnya ketika Syahir ingin pulang ke hotel. Dr Asyraf menasihati supaya Syahir fokus kepada kariernya dan tidak mencari publisiti murahan sambil menunjukkan gambarnya bersama Ratna. Syahir terkejut kerana gambar tersebut telah diedit seseorang dan dimasukkan di dalam akhbar.

BAB 10 - SELAMAT TINGGAL JAKARTA.

Syahir menentang Syed Amiri, namun konsentrasinya terganggu dengan gosip liar dan keputusan berat sebelah semasa pertandingan. Walaupun Syahir cuba membantah tetapi pengadil pertandingan tetap dengan keputusannya yang berat sebelah. Kekecewaannya menjadikan permainannya bertambah hambar dan Syed Amiri akhirnya berjaya menewaskan Syahir. Oleh itu, Syed Amiri layak ke Jakarta manakala Syahir sebaliknya.


BAB 11 - TUHAN, BERIKAN AKU KESABARAN.

Semua pemain utama skuad kebangsaan layak ke Jakarta kecuali Syahir. Hal ini menjadikannya tidak selesa ketika menjalani latihan biasa di kompleks sukan tersebut. Walaupun sahabatnya memberi kata perangsang namun kekecewaan hatinya masih menebal dalam jiwanya. Kata-kata Syed Amiri sejurus memenangi kejohanan tersebut manambah sakit hatinya. Haji Marzuki berharap Syahir tidak patah semangat kerana kekalahan tersebut dan meminta Syahir bercuti untuk menenangkan fikiran.
    
Selepas latihan petang itu, Syahir terus pulang ke rumah emaknya dan pergi ke rumah Mak Usu (Seremban) bersama emak dan Kak Uda. Ketika berada di rumah Mak Usu Syahir menerima panggilan Haji Marzuki yang memberitahu rakannya, Gopinath terlibat dalam kemalangan.


BAB 12 - SABAR MASIH BERSISA.

Rancangannya untuk bersama keluarga Mak Usu ke selatan terpaksa dibatalkan kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur setelah diarahkan oleh Haji Marzuki. Hanya Kak Uda dan emaknya sahaja yang pergi bersama Mak Usu menziarahi pusara datuk dan opahnya di Segamat. Mujur keluarganya memahami situasi yang dihadapinya.
    
Walaupun kehairanan kerana diminta pulang dan menjalani latihan seperti biasa, namun Syahir menurut kata jurulatihnya itu. Haji Marzuki akhirnya memberitahu bahawa dia berkeras dengan pihak atasan untuk menggantikan Gopinath dengan Syahir untuk kejohanan di Jakarta. Syahir bersyukur kerana masih berpeluang ke Jakarta.
  
Prestasi Syed Amiri semakin mendapat perhatian pihak media. Manakala Syahir sering mendapat kutukan Engku Aiman kerana kekalahan mereka tahun lalu. Namun Syahir cuba menjauhkan perasaan amarahnya supaya dia dapat memberi tumpuan untuk kejohanan pada tahun ini.


BAB 13 - PANGGILAN MENJELANG DINIHARI.

Hatinya cemas kerana mengetahui undian pencabar lawannya di Jakarta. Namun Haji Marzuki seolah-olah dapat membaca hatinya dan terus memberikan semangat dan nasihat kepadanya. Syahir mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi lawannya mengikut rentak permainannya.

Namun Syahir mempunyai kelemahan kerana bermain mengikut mood dan sukar mengawal emosi. Syahir juga bertemu Dr Haikal (kaunselor untuk meningkatkan psikologi pemain) namun nasihat yang diterimanya tidak sehebat nasihat Haji Marzuki. Pada 10.15 malam itu, Syahir menerima panggilan daripada Kak Uda yang memberitahu emaknya pitam di rumah abang Long.

BAB 14 - ISTIKHARAH SEBELUM KEBERANGKATAN.

Syahir menerima banyak cabaran sebelum ke Jakarta. Emaknya terlantar di Hospital Universiti dan Syahir mendapat tentangan abang Long dan Kak Ngahnya untuk membenarkannya ke Jakarta. Selepas solat Istikharah Syahir menghubungi Kak Uda dan Kak Uda memaklumkan emaknya bertambah stabil.

Kak Uda turut menasihati Syahir supaya meneruskan niatnya ke Jakarta demi negara. Syahir menyiapkan pakaian untuk seminggu berada di Jakarta. Sebelum berangkat Syahir, Wan  Najhan dan Nik Shahnizam singgah ke hospital untuk mendapatkan restu emaknya. Walaupun emaknya tidak mampu berkata-kata namun Syahir seakan-akan mengerti restu emaknya untuk berjuang demi negara.


BAB 15 - SEHANGAT JAKARTA.

Walaupun sudah kali keempat bertanding di Indonesia tetapi perasaan gemuruh masih terbit dalam dirinya. Dalam masa yang sama ingatan terhadap emaknya yang menghidap penyakit angin akmar tidak hilang daripada ingatannya. Sehari sebelum kejohanan bermula para pemain dibenarkan berlatih di Istora Senayan (Gelora Bung Karno).


Syahir diletakkan sebagai pilihan ke-12. Syahir berjaya menentang lawannya dalam setiap perlawanan bertemu Korea Selatan, China dan Indonesia. Akhirnya dia, Kam Heng, Syed Amiri dan pasangan beregu Wan Najhan-Boon Lee berjaya ke suku akhir. Semasa di Jakarta Syahir tidak lupa bertanyakan khabar emaknya dan Syahir berdoa kepada Tuhan agar diberikan kekuatan fizikal, mental, iman dan kesembuhan emaknya.


BAB 16 - SEJARAH BAKAL TERCIPTA

Setelah lima hari berlalu, Syahir berjaya ke peringkat penentuan juara lelaki perseorangan. Syed Amiri yang dicanang sebagai juara akhirnya tewas di peringkat separuh akhir. Laluan Syahir bertambah mudah setelah menang menentang pemain dari China, lawan seterusnya cedera selepas 5 minit perlawanan  dan menarik diri. Akhirnya Syahir bakal bertemu lawan dari Indonesia, Andri Minarwan (26 tahun). Khabar emaknya bertambah sihat melegakan hati Syahir. Wan Najlah turut memberikan kata-kata semangat kepadanya. Kata-kata temannya itu melekat dalam ingatannya.

    
Haji Marzuki tiba-tiba memanggilnya ketika pegawai lain menyaksikan perlawanan akhir kategori wanita. Haji Marzuki ingin memberitahu sesuatu perkara sebelum Syahir menentang Andri Minarwan. Haji Marzuki memaklumkan bahawa dia berjanji akan meletak jawatan sekiranya Syahir gagal menjadi juara pada malam itu. Syahir terharu dengan kepercayaan dan keyakinan jurulatihnya terhadap dirinya itu.


BAB 17 - TIDAK PERNAH MENYERAH.

8.20 malam, perlawanan bermula. Mulutnya tidak henti-henti berzikir untuk mengurangkan rasa gemuruh. Andri memulakan servis pertama. Pemain tangan kanan ini bijak mengawal gelanggang dan mendahului mata perlawanan. Namun Syahir menukar corak permainannya dan berjaya memenangi set pertama. Set kedua berlalu namun berlaku ketidakadilan pengadil gelanggang. Dalam masa yang sama Syahir mengalami sakit di bahagian abdomennya. Syahir tetap meneruskan perlawanan.


Dia sering mengingati nasihat jurulatihnya supaya bersabar dan tidak mengikut emosi seperti yang berlaku di Johor Bahru. Akhirnya Syahir berjaya menentang pemain Indonesia itu dan dinobatkan sebagai juara kategori lelaki. Semasa sesi penyampaian pingat Syahir tidak dapat menahan kesakitannya dan rebah di atas podium tersebut.


EPILOG

Syahir terpaksa menjalani pembedahan Apendisitis dan terlantar di hospital Jakarta bebeapa hari. Selepas itu, dia pulang ke Malaysia. Syahir bersyukur kerana diberi nikmat untuk hidup lagi. Ketika tiba di hospital Universiti, keluarganya telah menunggunya. Syahir terus memeluk emaknya dan memberikan pingat kemenangan kepada emaknya. Abang Long menyatakan rasa bangganya kepada adik bongsunya itu. Syahir berharap selepas ini dia berjaya ke Sukan Olimpik pula.


Tema Novel
Perjuangan seorang anak muda yang bernama Syahir yang ingin mencapai impiannya meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.



Buktinya, Syahir pemain nombor 15 dalam ranking dunia terpaksa melakukan pengorbanan yang besar demi merealisasikan hasratnya untuk bergelar juara dunia dalam sukan badminton. Syahir terpaksa berangkat ke Jakarta untuk bertanding dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa meskipun pada masa yang sama emaknya sedang terlantar di hospital. Keputusannya itu menyebabkan Kak Ngah Syahir menuduhnya sebagai anak yang mementingkan diri sendiri.

Selain itu, Syahir juga terpaksa menangguhkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi mencapai cita-citanya itu. Berkat pengorbanannya itu, perjuangan Syahir untuk bergelar juara dunia dalam sukan badminton menjadi kenyataan.



PERSOALAN              

            Berdasarkan novel yang saya kaji semasa di Tingkatan 3, berjudul Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar, terdapat beberapa persoalan yang dapat saya pelajari.

Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu. Contohnya, Syahir kerap pulang ke rumah keluarganya di Bandar Baru Bangi apabila tiada latihan badminton. Dia juga sanggup menemani emaknya ke Seremban untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah. Sebelum berangkat ke Jakarta, Syahir sempat melawat ibunya yang terlantar sakit di hospital untuk meminta restu.

Selain itu, persoalan tentang kesabaran dalam menghadapi cabaran. Contohnya, Haji Marzuki sabar mengharungi cabaran semasa bertugas dengan PBSM. Komitmennya dalam melatih barisan pemain perseorangan negara tetap berada pada tahap maksimum. Sebagai contoh, Haji Marzuki sanggup mempertaruhkan jawatannya sebagai jurulatih untuk memastikan Syahir layak ke Jakarta dengan syarat, Syahir akan berjaya menjadi juara.

Akhir sekali, pendirian yang teguh dalam melakukan sesuatu. Contohnya, Syahir tetap dengan pendiriannya untuk berpakaian menutup aurat semasa bermain badminton. Walaupun dia menerima kritikan daripada sesetengah pihak yang melabelkannya sebagai muslim konservatif dan ‘kepala batu dari hulu’. Namun Syahir tetap berpegang pada prinsipnya itu.
WATAK DAN PERWATAKAN SYAHIR

Berdasarkan novel yang telah saya kaji semasa di tingkatan 3 iaitu Justeru Impian Di Jaring yang dikarang oleh Zaid Akhtar, terdapat beberapa perwatakan yang ditonjolkan oleh watak utama iaitu Syahir.

Antara perwatakan Syahir yang amat saya kagumi ialah dia merupakan seorang yang penyabar. Sebagai contoh, tindakan Syed Amiri yang mengejeknya sebagai ‘Ustaz selebriti’ dan mempertikaikan kemampuannya untuk menyertai kejohanan antarabangsa di Jakarta telah dihadapinya dengan hati yang sabar. Peristiwa ini jelas membuktikan bahawa Syahir merupakan seorang yang penyabar.

Di samping itu, perwatakan yang ditunjukkan oleh Syahir ialah dia merupakan seorang yang penyayang. Dalam novel ini, sifat penyayang Syahir jelas terbukti apabila dia pulang ke Bandar Baru Bangi semata-mata untuk menjenguk emaknya walaupun tempat kediamannya terletak agak jauh. Syahir juga melawat emaknya yang menghidap penyakit strok di hospital sebelum dia berangkat ke Jakarta. Peristiwa ini dapat membuktikan sifat penyayang dalam diri Syahir.

Akhir sekali, Syahir juga merupakan seorang yang taat akan pesanan. Sebagai tamsilan, Syahir sentiasa ingat akan pesanan arwah ayahnya yang mengharapkan agar Syahir mengharumkan nama negara, memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara, serta memelihara syariat Islam dalam sukan. Izharlah, Syahir merupakan seorang yang taat akan pesanan.
WATAK DAN PERWATAKAN WATAK ANTAGONIS

Berdasarkan novel yang telah saya kaji semasa di tingkatan 3 yang berjudul Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar, terdapat tiga contoh peristiwa yang membuktikan Engku Aiman sebagai seorang antagonis.

Antara sikap antagonis yang dipamerkan oleh Engku Aiman ialah sikap pilih kasih. Contohnya, beliau sering mencemuh Syahir dan memuji-muji Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas. Syed Amiri, anak didiknya sering dijulang sebagai pemain yang paling meningkat pretasinya kebelakangan ini berbanding dengan pemain-pemain lain. Beliau juga hanya memberikan kata nasihat dan bimbingan kepada Syed Amiri walhal Syahir juga merupakan atlet Skuad Malaysia yang berada di bawah pemantauannya.

Selain itu, Engku Aiman juga seorang yang memandang rendah akan keupayaan orang lain. Misalnya, beliau mengatakan bahawa Syahir seorang pemain yang lembab, kelam-kabut, mudah terikut-ikut dan sebagainya. Engku Aiman menyindir Syahir bahawa ranking dunia tidak menjamin prestasi pada kejohanan Piala Liga dan Piala Antarabangsa dahulu. Tindakan Engku Aiman mengukit-ungkit kekalahan Syahir kepada pemain China suatu masa dahulu menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir.

Akhir sekali, Engku Aiman juga merupakan seorang yang mengambil kesempatan. Dengan ketidakhadiran Haji Marzuki ke sesi latihan, hal ini membuka peluang Engku Aiman untuk menyindir Syahir. Engku Aiman mengkritik permainan Syahir dengan kata-kata yang menyakitkan hati Syahir. Namun begitu, Syahir masih dapat bersabar. Engku Aiman sengaja memalukan dan melemahkan diri Syahir di hadapan Doktor Asyraf. Engku Aiman sering memuji Syed Amiri menyebabkan hatinya bertambah sakit sedangkan sebelum ini Engku Aiman tidak bersikap sedemikian semasa berada bersama Haji Marzuki.
LATAR TEMPAT

Berdasarkan novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar yang saya kaji di tingkatan 3, terdapat beberpa latar tempat yang berlaku dalam novel ini.

Antaranya, rumah keluarga Syahir di Bandar Baru Bangi. Sebagai contoh, emak dan Syahir berbual-bual tentang masa depannya dalam dunia badminton semasa berada di rumah mereka. Emaknya juga berpesan agar Syahir sentiasa mengingati amanat ayahnya supaya menutup aurat.

Seterusnya, gelanggang latihan badminton. Contohnya, Skuad Badminton Kebangsaan menjalani latihan di bawah kendalian Haji Marzuki, Engku Aiman dan Mas Suparman sebagai persediaan awal sebelum kejohanan Terbuka Johor dan kejohanan Antarbangsa di Jakarta, Indonesia.

Akhir sekali, Stadium Istana Senayan. Sebagai contoh, gelanggang pertemuan dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Di sinilah Syahir telah melakar sejarah dengan mencipta nama sebagai juara dunia apabila dia berjaya menumbangkan Andri Minarwan dari Indonesia.
LATAR MASA

Berdasarkan novel yang telah saya kaji di tingkatan 3 iaitu Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar, terdapat pelbagai latar masa yang dapat kita pelajari dalam novel ini.

Antaranya, latar masa waktu pagi. Contohnya, pada waktu pagi sesi latihan badminton dijalankan seperti biasa. Para pemain telah melakukan aktiviti memanaskan badan dan regangan. Pada masa itu, Syed Amiri sempat menyindir tentang kelayakan Syahir untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

Selain itu, terdapat juga latar masa pada pukul 8.30 pagi. Sebagai contoh, Syahir dan Bernard meneruskan latihan di bawah bimbingan Haji Marzuki. Kemudian, Haji Marzuki menyampaikan berita yang kurang baik iaitu Syahir akan bertemu dengan Syed Amiri pada kejohanan Terbuka Johor.

Akhir sekali, novel ini menunjukkan latar masa pada pukul 11 malam. Contohnya, pada pukul 11 malam, Wan Najlah memberanikan diri untuk menelefon Syahir bagi meminta maaf atas sikapnya yang terlalu emosional terhadap Syahir. Wan Najlah juga menyampaikan hasratnya untuk menutup aurat.
LATAR MASYARAKAT

Novel yang saya kaji semasa di tingkatan 3 iaitu novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar. Terdapat beberapa latar masyarkat yang boleh didapati dalam novel ini.

Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang sentiasa ingat akan pesanan. Contohnya, Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Selain itu, arwah ayahnya juga berpesan agar Syahir sentiasa memelihara syariat Islam dalam bersukan. Oleh hal yang demikian, Syahir merupakan satu-satunya pemain lelaki yang menutup aurat di gelanggang sehingga kini.

Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang bersikap pilih kasih. Sebagai contoh, Engku Aiman sering menyebelahi Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas dalam apa-apa jua tindakan. Hal ini juga jelas memaparkan bahawa Engku Aiman bersikap pilih kasih kerana beliau sering mengkritik Syahir semasa Syahir sedang berlatih.

Latar masyarakat yang terakhir ialah masyarakat yang tidak mudah berputus asa. Misalnya, Syahir tetap meneruskan latihan rutin sebagai pemain badminton walaupun telah tersingkir daripada senarai nama skuad kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Selain itu, Syahir juga tabah meneruskan latihan walaupun sering diejek dan disindir oleh Syed Amiri. 


NOTA TAMBAHAN;-


Persoalan

Ketaatan pada perintah Tuhan
Syahir sangat menjaga solat semasa latihan mahupun pertandingan. Dia juga akan berpakaian menutup aurat semasa bermain badminton.
Ketabahan menghadapi dugaan
Syahir tabah menghadapi pelbagai dugaan dalam usahanya bergelar juara dunia dalam permainan badminton.
Sukan sebagai elemen perpaduan
Syahir mengaku bahawa sukan merupan alat yang dapat menyuntik elemen perpaduan dalam masyarakat.
Kepentingan menuntut ilmu
Syahir mengakui kepentingan menuntut ilmu dalam kehidupan seseorang insan.
Kewajipan menutup aurat
Syahir sentiasa menjaga auratnya dalam berpakaian semasa latihan mahupun pertandingan.
Kasih sayang anak kepada emaknya
Syahir telah membatalkan penerbangannya bersama rakan-rakan ke Johor Bahru disebabkan emaknya tidak sihat.
Ketidakadilan dalam pengadilan
Syahir kecundang di tangan Syed Amiri dalam Terbuka Johor kerana pengadilan yang tidak telus dan berat sebelah. Dia turut berhadapan dengan insiden yang sama ketika berada dalam pertandingan akhir di Jakarta


Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Saya (Syahir)
Ø  Anak bongsu (hal.13)
Ø  Seorang ahli sukan
Ø  Seorang yang mementingkan syariat
o    digelar ustaz – Contoh : Panggilan "Ustaz" sudah lali dengan saya. (hal.26)
Ø  Seorang yang gemar membaca atau menonton televisyen ketika makan (hal.10)
Ø  Seorang yang pandai menjaga hati ibu – Contoh : Meskipun agak kenyang, demi menjaga hati emak yang bersungguh-sungguh memasak, sepotong ikan patin yang dimasak lemak cili api saya ratah (hal.12)
Ø  Seorang yang berpegang kepada janji/wasiat – Contoh : Dia mau semua anaknya berjaya, berijazah, dan berilmu. Peringatan itu sering diulang oleh emak yang setia menjadi penyambung lidah abah...Tidak pernah saya ghaflah akan wasiat arwah abah yang satu ini. Kekal saya genggam hingga kini. (hal.14)
Ø  Seseorang yang mementingkan ilmu – Contoh : Jadual latihan yang terlalu ketat dan sering bertindan dengan tuntutan pengajian memaksa saya memilih salah satu buat masa ini tetapi untuk berhenti belajar terus, tidak sekali-kali. (hal.15)  Menuntut ilmu itu kan wajib. (hal.36)
Ø  Seorang yang berhati waja/ Seorang yang teguh pendirian – contoh : Alasan abah, sukan mengganggu pelajaran, tetapi hati saya tetap waja. Pendirian saya tetap teguh. (hal.18)
Ø  Pernah bergelar juara remaja kebangsaan ketika berusia 16 tahun. (hal.18)
Ø  Seorang yang bersyukur- Contoh: Syukur. Kini wasiat abah masih saya pelihara. (hal.19)
Ø  Seorang pemain muslim yang menutup aurat di gelanggang pada peringkat antarabangsa. (hal.19)
Ø  Seorang yang suka membaca - Contoh: Kesibukan yang menghambat diri akhir- akhir ini menyebabkan rutin membaca saya terganggu. (hal.30)
Ø  Seorang yang mudah simpati - Contoh: Hati saya hiba menyaksikan nasib umat Islam yang diganyang musuh di tanah tumpah darah sendiri.Simpati saya merembes. (hal.32)
Ø  Seorang yang berlatarbelakangkan keluarga yang memang kuat beragama - Contoh: Bapa saya seorang ustaz. Kedua-dua abang saya juga ustaz. (hal.35)
Ø  Seorang yang sangat menghormati orang lain- Contoh: Hingga kini.saya kekal menghormatinya sebagai abang. (hal.49)
Ø  Seorang yang taat akan perintah Tuhan- Contoh: Rasanya gelaran itu berkait rapat dengan cara saya berpakaian ketika beraksi di gelanggang. Mungkin juga tegal saya sangat menjaga waktu solat ketika latihan atau pertandingan. (hal.36)
Ø  Seorang yang mempunyai beberapa kelebihan yang dicemburui kawan dan lawan. (hal.47)
Ø  Seorang yang mempunyai kesungguhan- Contoh: "Kesungguhan Abang Syahir dalam mempertahankan prinsip." (hal.57)
Ø  Seorang yang tegas- Contoh: u...Naj tabik dengan ketegasan abang untuk berpakaian menutup aurat ketika bermain." (hal.57)

Watak Sampingan
1.    Haji Marzuki
§      Jurulatih berpengalaman, berwibawa dan bertaraf dunia (hal.7)
§     Seorang yang pandai membaca gerak hati .(hal.21)
§     Seorang yang penyabar (hal.25)
§     Bekas juara terbuka Malaysia sebanyak tiga kali, (hal.45)
§     Bekas naib juara dunia dua kali.(hal.47)
§     Seorang yang suka memberi nasihat dan motivasi. (hal.46)
§     Seorang yang penyabar.(hal.46)
§     Seorang yang baik hati. (hal.47)
§     Seorang yang berkeyakinan tinggi. (hal.47)

2.    Kak Uda Syarizah
§     Kakak kepada Syahir (saya)
§     Pegawai perubatan di Hospital Kebangsaan Malaysia (hal.12)
§     Seorang yang mengambil berat -Contoh: Kak Udalah yang paling banyak 
  mengambil berat tentang saya.(hal.13)
§   Seorang yang sangat memahami - Contoh: Kak Uda seperti biasa menyokong saya. Memang
  kakak yang cukup memahami.(hal.15)

3.    Engku Aiman
§    Ketua jurulatih
§   Berusia pertengahan empat puluhan (hal.4)
§   Seorang yang suka menyindir
§   Seorang yang tegas

4.    Wan Najlah
§   Adik Wan Najhan
§   Seorang gadis yang tinggi lampai (hal.36)
§   Pemain muda perseorangan badminton wanita
§   Seorang yang periang dan ada harinya pendiam. (hal.26)
§   Seorang yang gemar mengusik jika berada di sisi abangnya (hal.26)
§   Seorang yang tidak tahan diusik (hal.28)
§   Seorang yang agak emosional (hal 55)

Latar
Latar Tempat
1.    Dewan latihan
     Contoh : Tempat skuad kebangsaan badminton berlatih di bawah ketua jurulatih (Engku Aiman) dan jurulatih (Haji Marzuki dan Mas Suparman) - mengandungi lima gelanggang badminton. (hal.43)
2.    Rumah sewa
     Contoh : Sejak tinggal menyewa bersama-sama Wan Najhan dan Nik Shahnizam berhampiran kompleks sukan. (hal.12)
3.    Rumah emak di Bandar Baru Bangi
     Contoh : Syahir pulang untuk menikmati makan malam bersama dengan Kak Uda Syarizah dan emaknya. (hal.10-11)
4.    Restoran 48 Jam
     Contoh : Sebelum pulang ke rumah ,kami singgah makan tengah hari di Restoran 48 Jam. (hal.25)
5.    Taman tasik
     Sesudah solat subuh, saya harus keluar berlari mengelilingi taman tasik beberapa pusingan seperti biasa. (hal.55)
6.    Taman Shamelin Perkasa, pejabat Azmie
     Contoh : Syahir berjumpa dengan Azmie dan empat orang pelajar UITM dan merakamkan gambar bersama-sama dengan artis, Ratna.
7.    Stadium Badminton Istora Senayan, Jakarta
     Contoh : Tempat pertandingan Kejohanan Badminton Antarabangsa
8.    Hotel - 15 minit ke Istora Senayan, tempat penginapan pemain-pemain badminton negara
9.    Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta
     Contoh : Sewaktu sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Haji Marzuki mengusikku, beliau membisikkan kata sakti ke telingaku. (hal.131)
10.   Hospital Universiti
     Contoh : Emak dirawat di sini setelah diserang angin ahmar. Saya, Wan Najhan dan Nik Shahnizam menziarahi emak sebelum berangkat ke Jakarta, (hal. 128)

Latar Masa
1.    Pukul 7:30 pagi
     Contoh: Semua pemain kebangsaan menjalani latihan pada pukul 7:30 pagi (hal.4)
2.    Lebih setahun
     Contoh: Rasanya lebih setahun saya menangguhkan pengajian di Jabatan Pengajian Sukan di UPM, Serdang. (hal.15)
3.    Malam
     Contoh: Hidangan malam ini memang kegemaran saya. (hal. 12)
     Syahir makan malam bersama-sama dengan Kak Uda dan emaknya.
     Malam ini latihan berlangsung macam biasa. (hal.52)
4.    Lima tahun yang lalu
     Contoh: gambar usrah kami tujuh beranak yang diambil semasa hari raya puasa hampir lima tahun yang lalu. (hal.16)
5.    Tengah hari
     Contoh: Syahir dan Wan Najhan makan tengah hari di Restoran 48 Jam. Mereka bertemu dengan adik Wan Najhan, iaitu Wan Najlah. (hal.25)
6.    Pukul 11:10 malam
     Contoh : Saya hidupkan televisyen yang hanya sempat saya tonton pada waktu-waktu begini. Buletin Dunia sedang ke udara.
7.    Pukul 8:30 pagi
     Contoh: Saya dan Bernard meneruskan latihan di bawah bimbingan Haji Marzuki. (hal.43)


Sebagai tugasan tambahan, pelajar perlu menulis contoh huraian dan contoh latar masyarakat berdasarkan novel tingkatan 3 yang anda kaji.

Latar Masyarakat
1.    Masyarakat pemain badminton
2.    Masyarakat yang tabah
3.    Masyarakat yang bersemangat kental
4.    Masyarakat yang bersungguh-sungguh
5.    Masyarakat yang berkeyakinan tinggi
6.    Masyarakat yang tegas dalam mempertahankan prinsip
7.    Masyarakat yang penyayang
8.    Masyarakat yang insaf
9.    Masyarakat yang hormat-menghormati
10.   Masyarakat yang bersatu padu
11.   Masyarakat yang bertanggungjawab

Sebagai tugasan tambahan, pelajar perlu menulis contoh huraian dan contoh nilai berdasarkan novel tingkatan 3 yang anda kaji.

Nilai
1.    Kesungguhan
2.    Ketabahan
3.    Keyakinan
4.    Kasih sayang
5.    Hormat- menghormati
6.    Nasihat-menasihat
7.    Bersatu padu
8.    Keinsafan
9.    Baik hati
10.   Keberanian
11.   Ketaaatan

Pengajaran
1.    Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam mempertahankan prinsip.
     Contoh; Syahir bersungguh-sungguh dalam mempertahankan syariat Islam.
2.    Kita mestilah tabah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan.
     Contoh: Syahir tetap tabah menghadapi sindiran daripada Engku Aiman dan Syed Amiri.
3.    Kita mestilah yakin dengan keputusan yang telah dibuat.
     Contoh: Haji Marzuki yakin dengan keputusannya untuk memilih Syahir bagi menggantikan Gopinath ke Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.
4.    Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita. Contoh:
     Syahir sangat menyayangi emak dan arwah abahnya.
5.    Kita mesti hormat-menghormati antara satu sama lain.
     Contoh: Syahir amat menghormati Syed Amiri, walaupun Syed Amiri suka menyindirnya.
6.    Kita mestilah nasihat-menasihati antara satu sama lain.
     Contoh: Haji Marzuki sentiasa menasihati Syahir agar menerima keputusan pihak atasan yang mahu memilih pemain badminton berdasarkan prestasi semasa.
7.    Kita mestilah bersatu padu dalam masyarakat majmuk di negara kita.
     Contoh: Syahir menganggap sukan wadah untuk perpaduan kerana dia dapat memupuk perpaduan dengan teman-teman seperjuangannya iaitu, Kam Heng, Gopinath, dan Bernard.
8.    Kita mestilah insaf setelah melakukan kesalahan.
     Contoh: Wan Najlah memohon maaf atas sikapnya di Restoran 48 Jam.
9.    Kita mestilah berani mempertahankan pendirian kita.
     Contoh: Syahir berani mempertahankan pendiriannya yang berpakaian menutup aurat ketika di gelanggang.
10.   Kita mestilah taat akan perintah Tuhan.
     Contoh: Syahir taat akan perintah Tuhan, dia amat menjaga solat semasa latihan dan pertandingan.
11.   Kita mestilah berpegang kepada janji.
     Contoh: Syahir tetap berpegang kepada janji dengan arwah abahnya, yang mahu dia memelihara syariat Islam dalam bersukan.
12.   Kita mestilah bijak mengawal emosi kita.
     Contoh: Syahir terlalu mengikut perasaannya sehingga tidak dapat mengawal emosinya. Keadaan ini telah menyebabkan dia kalah kepada Syed Amiri dalam Kejohanan Terbuka Johor.


9 ulasan: