SELAMAT DATANG KE CIKGUMOHDRAMSUL. BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ANDA KERANA ANDA MAMPU MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BANGSA

SELAMAT MENGUNJUNGI BLOG INI YANG DIWUJUDKAN SEPANJANG SAYA MENGAJAR DI SMKASAS (PMR) SELAMA 12 TAHUN DAN KINI SETELAH LAMA TIDAK AKTIF KERANA SAYA BERTUGAS DI PPD PERAK TENGAH SAYA BERUSAHA MENGAKTIFKAN SEMULA BLOG BERKENAAN. KINI BLOG INI KHAS UNTUK ANAK DIDIK SMK SERI LONDANG, GELUNG PEPUYU, BOTA UNTUK PEPERIKSAAN PT3 ADA TAHUN 2017. SEMOGA BLOG INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGGAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PT3, INSYAALAH.

Rabu, 14 November 2012

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

MUHASABAH MAAL HIJRAH

Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,
Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.
Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.
Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.
Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.
SEMOGA TAHUN BARU HIJRAH INI KITA AKAN BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK
BERBANDING TAHUN-TAHUN YANG SUDAH BERLALU. AMIN

Ahad, 11 November 2012

BAGAIMANA UNTUK MENGHASILKAN KARANGAN TERBAIK

Peringatan Kepada Pelajar SMKASAS.
          Sepanjang cuti semester akhir ini, cuba lakukan penambahbaikan dan perluasan ilmu terutama berkaitan isu-isu semasa. Maksud saya, anda perlu banyak membaca mengenai sebarang maklumat kerana pengetahuan yang pelbagai merupakan penentu utama kematangan anda semasa menghuraikan sesebuah karangan. Perlu diingatkan juga, pelajar yang bijak mengarang bukan sahaja perlu mantap dari segi penguasaan kaedah mengarang, pelajar juga perlu menguasai pelbagai format karangan, malah perlu mempunyai pelbagai malumat semasa, dan ditambahkan lagi penguasaan tatabahasa. Justeru, cuba dapatkan pelbagai isu semasa sama ada isu berkaitan kekeluargaan, masalah sosial, isu kemalangan, isu bencana alam, isu pendidikan, isu sukan negara, isu kepentingan Bahasa Kebangsaan, isu kepentingan kestabilan ekonomi negara , isu kepentingan hubungan politik dua hala dan pelbagai isu yang anda rasakan penting. 
                Langkah seterusnya, isu-isu berkenaan perlu anda simpan dalam "pendrive" dan setiap isu berkenaan perlu anda asingkan berdasarkan tajuknya. Seterunya, maklumat berkenaan akan membantu anda untuk membuat folio dan kita akan bincangkan formatnya apabila sesi persekolahan 2013 dibuka nanti. Hal ini perlu untuk memastikan folio berkenaan direalisasikan dalam format folio yang selaras. Dapatan maklumat tersebut, akan digunakan semasa menulis karangan. Selain itu, maklumat-maklumat berkenaan mungkin akan membantu pasukan debat, atau pembahas sekolah dan mungkin juga ada dalam kalangan anda yang berkebolehan untuk diketengahkan sebagai pendebat atau pembahas sekolah. 
                   Justeru, kemudahan untuk mendapatkan maklumat, sama ada dalam internet, atau bahan akhbar juga boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Saya berharap anda akan melakukan sepanjang cuti ini untuk meningkatkan pengetauan sedia ada anda. InsyaAllah maklumat berkenaan akan membantu untuk mematangkan anda menghasilkan karangan yang menarik. Sekiranya anda terbaca atau terjumpa karangan menarik, cuba kumpulkan untuk diselitkan ke dalam folio semasa sesi persekolahan tahun hadapan.

        Bersama-sama bahan tulisan saya ini saya paparkan kelemahan pelajar semasa menulis karangan untuk menjadi iktibar atau panduan anda.


TEKNIK PENULISAN KARANGAN BERPANDU DAN KARANGAN UMUM
ANTARA CIRI KELEMAHAN KARANGAN PELAJAR
A   Pengenalan

Ø Takrif definisi tidak tepat
Ø Tidak menarik, tidak memperlihat kematangan berfikir 
Ø Tidak lengkap dan terlalu pendek 
Ø Tidak menjurus kepada kehendak soalan dan isi
Ø Ayat meleret-leret dan tidak releven

Penjelasan punca kelemahan:-
Pelajar tidak menguasai kaedah menulis perenggan pengenalan kerana:-
 a) Tidak mahir memilih pengenalan yang 
     sesuai.
 b) Kurang kreatif untuk menggunakan bahan  
     yang ada di sekeliling mereka contoh, 
     lagu, pantun, petikan akbar, iklan, dan 
     sebagainya.
 c) Tidak berusaha untuk memantapkan 
     perenggan pengenalan.

B        Isi

Ø  Isi kurang dan tidak mencukupi
Ø  Isi tidak menepati tajuk. Isi bercampur-aduk dengan isi konkrit dan bukan konkrit
Ø  Isi tidak disusuli contoh dan huraian
Ø  Isi berulang-ulang (sama)
Ø  Fakta yang diberi kurang tepat atau salah.
Ø  Isi kurang logik, tidak matang, tidak jelas dan sempit pengetahuan (Sikap kurang membaca)
Ø  Isi terpesong

Penjelasan punca kelemahan:-
a)  Kurang maklumat kerana pengetahuan 
     sempit ( Kurang membaca).
b)  Tidak menguasai kaedah penulisan 
     karangan samada kaedah deduktif, induktif 
     atau gabungan kaedah penulisan. 
c)  Tidak menguasai format karangan.
d)  Kurang latihan.
c)  Sikap ambil mudah semasa mengarang.
 
C)   Pemerengganan

Ø  Tidak sesuai dan kadang-kadang isi bercampur aduk dalam satu perenggan atau perenggan yang dibuat tidak mengandungi isi baru.
Ø  Bercampur-aduk, tidak seimbang, tidak teratur dan tidak kemas.
Ø  Perenggan yang dibuat ada yang terlalu panjang, ada yang terlalu pendek.

Penjelasan punca kelemahan:-
a)  Tidak menguasai keaedah penulisan. 
     ( Rujuk jenis-jenis kaedah.)
b)  Kurang membaca, kurang isi atau 
     maklumat.

D)     Bahasa

Ø  Bahasa lemah, tidak lancar 
Ø  Berbelit-belit, sukar difahami
Ø  Ejaan dan tatabahasa banyak kesalahan
Ø  Struktur ayat terhad, kosa kata tidak tepat
Ø  Jumlah bilangan perkataan sangat kurang, tidak memenuhi syarat

Penjelasan punca kelemahan:-
a)  Penguasaan tatabahasa lemah.
b)  Tiada usaha untuk menguasai kemahiran
     tatabahasa.
c)  Penguasaan perbendaharaan kata kurang.
d)  Kurang penguasaan frasa menarik seperti
     peribahasa, simpulan bahasa, kata-kata
     hikmah, kata-kata pemimpin, dan lain-lain
     lagi.
E)     Format

Ø Tidak menepati atau tidak mengetahui langsung format yang dikehendaki
Ø Tidak dapat membezakan kehendak karangan sama adakarangan berformat atau tidak berformat.

 Penjelasan punca kelemahan:-
a)  Kurang faham atau tidak membaca soalan
     dengan teliti.
b)  Tidak menguasai format-format karangan seperti karangan berformat dan tidak berformat.
c)  Kurang membaca.

F)    Tulisan

Ø Tidak jelas, sukar dibaca dan difahami
Ø Mengelirukan, comot, terdapat banyak kesalahan ejaan
Ø Terlalu kecil tulisan dan tidak kemas.

Penjelasan punca kelemahan:-

a) Budaya atau kebiasaan.
b) Tiada kesungguhan untuk membaiki 
    tulisan.
  Kesimpulannya, untuk menghasilkan sebuah karangan yang bermutu dan cemerlang memerlukan usaha dan
  kesungguhan.. Anda tidak akan dapat menghasilkan karangan yang mantap dengan hanya membuat
  latihan yang minima.. Paling penting, bimbingan guru adalah diperlukan, selain pelajar sendiri banyak
  bertanya kepada guru bahasa Melayu. Jangan anda beranggapan, anda orang Melayu boleh menguasai
  kemahiran berbahasa. Sikap sebegini menyebabkan orang Melayu ketinggalan, sedangkan bangsa bukan
  Melayu sudan mengatasi bangsa Melayu.
       Jika ada yang tidak faham, sila hubungi saya. Setiap pertanyaan, saya akan cuba selesaikan.



Jumaat, 9 November 2012

LATIHAN PERTAMA BERFOKUS KEPADA KARANGAN UMUM.

Huraikan pendapat anda tentang  penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar.

Contoh karangan terbaik. Salin karangan di bawah sebagai kerja anda. Paling utama, lihat bagaimana pengenalan dibina, isi dioalah dengan matang dalam perenggan isi dan cara menulis penutup. Karangan ini boleh disalin dalam kertas atau buku karangan tingkatan dua. Sila garis ayat isi dan istilah menarik (IM) dan frasa menarik (FM) perlu ditulis di bahagian atas kata, frasa atau ayat karangan yang anda salin. Sebarang masalah, hubungi saya.
Alaxander Graham Bell merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta alat telekomunikasi yang dinamakan sebagai telefon. Sejajar dengan dunia yang pesat berkembang ini, telefon kini lebih mobiliti dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Rekaannya juga semakin menarik perhatian ramai umumnya remaja yang sentiasa mengejar kelainan. Ada segelintir remaja berpendapat alat komunikasi ini merupakan suatu keperluan, selain ada yang beranggapan alat ini wahana yang penting semasa mereka berkomunikasi dengan rakan-rakan. Bahkan juga, ada sesetengah remaja beranggapan, telefon bimbit sebagai penentu imej mereka di mata rakan-rakan. Jika diperhalusi, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar lebih mendatangkan impak yang pelbagai kepada remaja.


Mari kita rungkai kepentingan telefon dalam kalangan pelajar dan kata kunci pertama perbincangan ialah telefon bimbit yang dimiliki mampu menghubungi insan tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Mendengar suara ibu dan bapa pastinya membuatkan jiwa kita tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan yang paling mengenali diri kita. Justeru, anak-anak boleh berkongsi masalah dengan ibu bapa dan dengan cara ini sebarang permasalahan yang dihadapi oleh mereka dapat dirungkai terutamanya masalah pelajaran. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar pastinya meningkatkan motivasi mereka untuk terus belajar lebih-lebih lagi untuk para pelajar yang tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

  Seterusnya, mari kita fokus minda kita sebagai pelajar kelas pertama dengan membincangkan, fungsi telefon membantu menyelesaikan masalah pembelajaran pelajar. Sebagaimana kita sedia maklum, zaman teknologi maju ini mewujudkan sindrom 'dunia tanpa sempadan.' Yang jauh didekati dan yang dekat disayangi. Cuma pelajar yang bijak saja akan mengaplikasi alat komunikasi ini utntuk kebaikan. Sebagai contohnya, rakan-rakan rapat boleh dihubungi dengan segera waima kita tidak berada di sekolahpun jika mereka mempunyai telefon selular ini. Secara tidak langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika kita tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Hubungan dengan rakan-rakan juga akan menjadi erat dan bertambah mesra. Justeru, telefon bimbit mampu menyelesaikan masalah kita dalam pembelajaran.

Selain itu, kita juga boleh membuat capaian Internet melalui telefon bimbit pintar yang terdapat di pasaran kini. Hal ini benar-benar membuatkan dunia berada di hujung jari kita. Dengan menekan butang-butang tertentu di telefon bimbit, segala maklumat yang ingin diketahui boleh didapati dengan mudah dan cepat. Justeru, kita tidak perlu lagi menunggu-nunggu untuk mendapatkan sesuatu maklumat kerana masa itu emas. Sudah terang lagi bersuluh, telefon bimbit memudahkan pelajar mendapatkan maklumat dengan segera.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit juga mendatangkan kesan negatif kepada pelajar. Misalannya, mereka lebih mudah merakam atau menyimpan video-video mahupun gambar-gambar lucah dalam alat telekomunikasi itu. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan lebih-lebih lagi apabila peratusan kes pelajar ditangkap di sekolah kerana telefon bimbit mereka menyimpan bahan porno yang terlarang. Penyebaran video-video seperti yang dimaksudkan ini bukan mudah untuk dibanteras tetapi tidak mustahil untuk diperangi. Hanya pelajar yang mempunyai pendiding agama dan iman sahaja yang akan mampu untuk menghidari kehidupan mereka daripada diracuni perisian yang negatif ini. Tegasnya, penggunaan telefon bimbit juga mendatangkan kesan negatif kepada pelajar.

Di samping itu, penggunaan telefon bimbit juga boleh melalaikan remaja. Lihat sahaja situasi masa ini apabila golongan remaja tidak boleh berpisah dengan ‘kembar’ mereka itu walaupun sedetik. Ditambah pula dengan pelbagai aplikasi yang kurang penting dan permainan yang melekakan dalam telefon mudah alih itu pastinya membuang masa para remaja dengan sia-sia. Walhal, masa senggang para remaja perlu diisi dengan ilmu yang bakal menerangi masa depan mereka. Tambahan pula, ada sesetengah pelajar sanggup menahan lapar, hanya untuk mengumpul wang membeli sebuah telefon bimbit atas dasar imej agar mereka dipandang tinggi rakan-rakan lain. Sedangkan mereka tidak sedar penggunaan telefon bimbit membakar wang mereka untuk membayar perkhidmatan syarikat telokomunikasi. Justeru, telefon bimbit melalaikan mereka sebagai seorang pelajar.

Izharnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja memberikan seribu satu faedah kepada sesiapa sahaja. Kita perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Jika tidak digunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, para remaja yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.
 

SELAMAT DATANG PELAJAR TING. 2 2012 SMKASAS

Asslamualaikum kepada pelajar ting 2 SMKASAS, sesungguhnya anda ialah seorang pelajar  kluster kerana berjaya melayari laman blog PMR saya. Sebagai permulaan, sila baca dan teliti nota-nota yang terdapat dalam blog ini kerana banyak kemahiran yang anda akan peroleh antaranya kemahiran mengarang, kemahiran tatabahasa dan sebagainya. InsyaAllah selepas ini saya akan masukkan kerja dalam cuti untuk anda laksanakan. Isi masa anda dengan aktiviti yang bermanfaat terutama sebagai persediaan menghadapi PMR 2013.

Sekiranya anda mempunyai masalah sila hubungi saya di sms 0197771313, atau face book di alamat mohdramsul@yahoo.com atau di email saya mohdramsul@yahoo.com, atau di pop up my cbox pada bahagian atas blog PMR saya. Saya akan cuba melayani masalah anda. InsyaAllah.