KEPENTINGAN BERSUKAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT
HASILAN KARANGAN PELAJAR 2A1
MOHAMMAD SYAFIQ B. SALIMZUUDIN
Sebagai ulasan tambahan, karangan di atas di salin semula daripada karangan noorazmanmahat.blogspot. Cuba bezakan program karangan menyalin karangan dengan aktiviti karangan di dalam kelas. Sepatutnya, anda perlu membuat sendiri karangan berkenaan bukan diciplak dariapada karangan orang lain.
Saya selitkan contoh karangan yang diubah suai dan diberi penambah
baikan untuk anda salin dan jadikan contoh. Cuba lihat bagaimana frasa menarik diselitkan pada ayat untuk mengindahkan karangan anda.
Mohon jasa baik pelajar yang ada "printer", atau pencetak mencetak
karangan di bawah dengan "copy dan paste" ke dalam word
dan tampalkan di sudut Melayu untuk di salin oleh rakan-rakan
sebagai aktiviti menyalin karangan terbaik.
Sukan merupakan satu aktiviti riadah
yang paling sesuai dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat negara ini
terutama ketika waktu senggang. Antara jenis sukan itu meliputi bola sepak,
acara larian, badminton, hoki, dan bola tampar yang menjadi pilihan utama
rakyat Malaysia tersebut dan amalan ini bertepatan dengan slogan 1M 1 Sukan
yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Juesteru, media massa di negara ini
juga sering menyiarkan siaran langsung sebarang acara sukan yang menarik
perhatian masyarakat untuk ditonton supaya menggalakkan masyarakat bersukan.
Sebenarnya, sukan ini membawa banyak faedah kepada individu, masyarakat, dan
negara.
Impak positif penglibatan sukan kepada
individu ini ialah diri mereka akan berasa puas dapat melakukan sesuatu
aktiviti tersebut. Kepuasan ini tercapai kerana sebarang aktiviti sukan itu
memerlukan tumpuan tenaga yang banyak lalu menjadikan individu tersebut
menikmati suasana kehidupan yang sihat kerana badan yang cergas melahirkan
otak yang cerdas. Lama-kelamaan kepuasaan ini membawa keyakinan diri
seseorang itu menjadi lebih tinggi sehingga mampu mengharungi kehidupan yang
penuh dengan ranjau dan duri. Ringkasnya, acara sukan membawa kehidupan
manusia itu lebih bermatlamat dan fokus untuk meneruskan kehidupan harian
mereka sehari ke sehari yang penuh dengan cabaran.
Selain itu, golongan yang sering
bersukan boleh memperoleh kebaikan daripada aspek kesihatan diri mereka
pula. Sebarang aktiviti sukan pasti akan membawa seseorang itu berpeluh lalu
banyak toksik badan akan dilepaskan dengan lancar. Apabila semua toksik badan
dibuang secara baik sudah pasti sistem badan akan berjalan dengan tersusun
sehingga menyukarkan sebarang penyakit berbahaya berlaku kerana Rakyat Sihat
Nagara Maju. Akibatnya, masyarakat di negara ini tidak akan menghabiskan
wang mereka untuk kos rawatan di hospital itu kerana tidak mengalami penyakit
kronik seperti diabetes, jantung, dan kerosakan buah pinggang. Jelasnya, mencegah
lebih baik daripada mengubati.
Kajian juga membuktikan bahawa
perpaduan masyarakat boleh dipupuk menerusi acara sukan yang diadakan tersebut.
Konsep perpaduan ini dicapai kerana kejayaan atau kegagalan pasukan kebangsaan
dalam sebarang acara sukan turut dirasai oleh masyarakat tanpa mengira
keturunan itu. Situasi ini mendidik masyarakat erti menikmati sesuatu baik
dalam bentuk positif atau negatif secara bersama-sama sehingga tercetusnya
perpaduan antara kaum tersebut kerana Sukan Pemangkin Perpaduan Negara.
Lantaran itu, semua cabaran negara akan lebih mudah diharungi kerana rakyat
memiliki rasa kekitaan yang mendalam hasil daripada aktiviti sukan yang murni
itu. Kesimpulannya, perpaduan masyarakat boleh dipupuk menerusi acara sukan.
Tambahan pula, sebarang acara sukan
yang diadakan atau dianjurkan oleh sesebuah negara itu bakal menjana
pertumbuhan ekonomi negara juga. Usaha menganjurkan acara sukan bertaraf dunia
seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia bola sepak memerlukan pembinaan stadium
serta kemudahan awam lainnya terutamanya pengangkutan awam. Aktiviti sebegini
memerlukan sejumlah modal yang besar untuk membawa semua projek ini berjalan
lancar sehingga menjadikan perniagaan sampingan turut berkembang. Bak kata pepatah
serampang dua mata bererti projek dijalankan
oleh kerajaan membawa impak pelbagai kepada kemajuan masyarakat dan negara. Sesungguhnya,
aktiviti sukan yang diadakan apabila dirancang dengan teliti boleh memajukan
sektor ekonomi negara dengan begitu mudah.
Kesimpulannya, semua kebaikan sukan
tadi memang boleh terserlah apabila sukan dimajukan dengan sebaik mungkin.
Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memberikan sokongan apabila anak mereka
ingin terlibat dalam sesuatu acara sukan itu. Tanpa disedari sukan itu boleh
menghasilkan pelbagai kebaikan yang berguna untuk individu, masyarakat, dan
negara. Slogan majulah sukan untuk negara harus dipegang oleh setiap lapisan
insan Malaysia jika kita mahu acara sukan ini terus mendapat tempat dalam jiwa
rakyat serta meletakkan imej negara agar boleh duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara maju yang menjadi gergasi sukan dunia.