SELAMAT DATANG KE CIKGUMOHDRAMSUL. BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ANDA KERANA ANDA MAMPU MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BANGSA

SELAMAT MENGUNJUNGI BLOG INI YANG DIWUJUDKAN SEPANJANG SAYA MENGAJAR DI SMKASAS (PMR) SELAMA 12 TAHUN DAN KINI SETELAH LAMA TIDAK AKTIF KERANA SAYA BERTUGAS DI PPD PERAK TENGAH SAYA BERUSAHA MENGAKTIFKAN SEMULA BLOG BERKENAAN. KINI BLOG INI KHAS UNTUK ANAK DIDIK SMK SERI LONDANG, GELUNG PEPUYU, BOTA UNTUK PEPERIKSAAN PT3 ADA TAHUN 2017. SEMOGA BLOG INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGGAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PT3, INSYAALAH.

Khamis, 22 Mac 2012

Kaedah Mengembangkan Perenggan Isi

Cara membina perenggan isi.

Selepas pendahuluan, pelajar-pelajar perlu menulis perenggan isi pula. Biasanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan yang ketiga, dan seterusnya. Dari segi isi, pelajar-pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan sahaja. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian.
Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:
(a)            Ayat judul;
(b)            Ayat Huraian;
(c)             Ayat Bukti/Contoh; dan
(d)        Ayat penegas.

Ayat judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan. Hal ini bergantung pada huraian yang dilakukan oleh pelajar.
Ayat huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan  bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. Karangan yang baik akan mengemukakan satu (1) ayat huraian sekurang-kurangnya.
Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan  untuk memperkuat hujah. Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.
      Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti "tegasnya", "oleh itu", dan "sehubungan dengan itu".
JAWAPAN CONTOH UNTUK PERENGGAN ISI
(1) Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih berat terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan tidak bertimbang rasa. (2) Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di jalan raya.(3) Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak. (4) Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Dalam contoh jawapan di atas, ayat (1) ialah ayat judul, ayat (2) ialah ayat huraian, ayat (3) ialah ayat contoh, dan ayat (4) ialah ayat penegas.





Dalam penulisan karangan, terdapat tiga jenis perenggan isi, iaitu
1 Perenggan Deduktif
2 Perenggan Induktif
3 Perenggan Deduktif-induktif
1  Contoh Perenggan Deduktif
(1) Satu daripada punca mutu sukan bola sepak negara kita merosot ialah disiplin pemain negara kita tidak mencapai tahap yang tinggi. (2) Sudah banyak kali disiplin pemain bola sepak negara dipertikaikan ketika menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan atau luar negara. (3) Sebagai contohnya, ada kalangan pemain negara yang tidak mengikuti jadual latihan yang ditetapkan oleh jurulatih dan paling memeranjatkan ada segelintir pemain yang terlibat dengan rasuah dengan mencatur keputusan perlawanan. (4) Justeru, persatuan bola sepak negari dan kebangsaan perlu mengambil berat masalah ini agar tidak memalukan mutu sukan bola sepak negara. Bak kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur (5 )

** Bentuk penulisan isi seperti ini selalu ditulis oleh pelajar semasa mengarang.
Ayat (1) Ayat judul,  ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh,  ayat (4 ) ayat penegas dan ayat ( 5 ) frasa menarik/ peribahasa.
2  Contoh Perenggan Induktif
(1) Pabila pemain negara kita bersara, kita tidak mendapat pengganti yang sesuai. (2) Sebagai contohnya, sehingga kini kita belum mempunyai pemain yang setanding dengan kehandalan pemain lagenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Soh Chi Aun. (3) Tegasnya ketiadaan pemain yang menggerunkan lawan menyebabkan pasukan bola sepak negara kita sering gagal walaupun berlawan dengan pasukan yang lemah seperti Filipina dan Laos. (4) Puncanya ialah negara kita tidak mempunyai program bola sepak di peringkat akar umbi.
   
Ayat (1) ayat huraian, ayat (2) ayat contoh, ayat (3) ayat penegas, dan ayat (4) ayat judul.


3.  Contoh Perenggan Deduktif- Induktif
 (1)  Faktor ketiadaan jurulatih yang berwibawa juga merupakan faktor kemerosotan mutu bola sepak negara kita. (2) Kebanyakan negara yang maju dalam bidang bola sepak mengambil jurulatih dari luar negara yang mempunyai pengalaman luas. (3) Contohnya, pasukan Korea Selatan yang menggunakan Gus Hiddink dari Belanda, telah berjaya untuk memasuki perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2002. (4) Jadi, ketiadaan jurulatih yang berwibawa sebenarnya menjadi salah satu punca kemerosotan mutu sukan bola sepak negara.

Ayat (1) ayat judul, ayat (2) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, dan ayat (4) ayat judul.


Pelajar  telah didedahkan cara untuk membina perenggan isi yang baik, matang, dengan pengolahan yang baik serta menarik dan mengambarkan penguasaan pelajar terhadap tajuk karangan. Berdasarkan tiga bentuk binaan isi iaitu menggunakan kaedah pembinaan isi jenis:-
a.            Perenggan isi jenis deduktif.
b.            Perenggan isi jenis induktif.
c.            Perenggan isi jenis deduktif-induktif
      Sepanjang  pengetahuan saya sebagai seorang guru mata pelajaran bahasa Melayu, kaedah binaan perenggan isi  paling diminati oleh pelajar adalah dengan menggunakan kaedah deduktif. Namun, pelajar bebas untuk memilih kaedah yang lain asalkan isi yang anda huraikan menarik, dan mengambarkan kematangan anda mengolah isi dengan baik. Tegasnya, fungsi utama kaedah ini diwujudkan adalah untuk memastikan seorang pelajar dapat menyeimbangkan kepanjangan setiap perenggan yang dihasilkan untuk mendapat markah yang cemerlang semasa mengarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan